Tehran: Media negara Iran melaporkan pada Isnin bahawa sebuah suruhanjaya parlimen meluluskan rancangan untuk mengenakan tol ke atas kapal yang melalui Selat Hormuz, laluan air penting untuk penghantaran minyak dan gas yang ditutup secara efektif akibat perang Timur Tengah.
Memetik seorang ahli suruhanjaya keselamatan parlimen, TV negara berkata, rancangan itu membabitkan, antara lain, “pengaturan kewangan dan sistem tol sebenar” dan “melaksanakan peranan kedaulatan Iran”, serta kerjasama dengan Oman di seberang selat berkenaan.
Ia juga termasuk “larangan rakyat Amerika dan rejim Zionis daripada melaluinya”, serta larangan ke atas negara lain yang mengenakan sekatan ke atas Iran.
Kira-kira satu perlima daripada minyak mentah global dan gas asli cecair melalui Selat Hormuz pada masa aman.
Sejak perang bermula, lintasan merosot sekitar 95 peratus, menurut firma perisikan maritim Kpler, dengan kesannya dirasai di seluruh pasaran tenaga global.
© New Straits Times Press (M) Bhd




