Kes tembak adik: Siasatan forensik diteruskan, saksi utama diambil keterangan

Kes tembak adik: Siasatan forensik diteruskan, saksi utama diambil keterangan

am@hmetro.com.my

Tenom: Siasatan kes seorang lelaki yang menembak adik kandungnya hingga maut sebelum dia sendiri ditembak mati polis di Kampung Kangkawang, Jalan Kemabong, di sini, kelmarin tertumpu kepada siasatan forensik serta pengambilan keterangan saksi.

Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak berkata, siasatan forensik masih dijalankan di lokasi dan beberapa barangan kes termasuk senjata bakakuk, peluru serta kelongsong peluru sudah dirampas untuk dianalisis lanjut.

“Sementara itu, pegawai penyiasat kes turut giat mengambil keterangan daripada semua saksi berkaitan bagi membantu siasatan.

“Antara yang sudah dirakam percakapan termasuk isteri mangsa, anak suspek yang dipelihara oleh mangsa berikutan suspek mempunyai masalah kesihatan mental serta beberapa saksi dalam kalangan anggota polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal juga mendapati senjata api buatan sendiri jenis bakakuk itu dipercayai milik suspek.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, manakala siasatan lanjut masih diteruskan.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa berusia 54 tahun disahkan meninggal dunia selepas dipercayai ditembak beberapa kali oleh suspek yang juga abang kandungnya.

Suspek berusia 57 tahun dilaporkan menggunakan senjata buatan sendiri jenis bakakuk miliknya sebelum dia ditembak mati polis selepas enggan menyerah diri dan mengancam keselamatan anggota polis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top