Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang antara empat peratus dan lima peratus tahun ini berbanding 5.2 peratus pada tahun lalu, dengan daya tahan Malaysia pada peringkat dalam negeri dan struktur eksport yang pelbagai memberikan asas yang kukuh untuk mengharungi rintangan luaran semasa.
Perbelanjaan isi rumah, pengembangan pelaburan, permintaan global yang berterusan, khususnya bagi eksport Elektrik dan Elektronik (E&E), serta aktiviti pelancongan yang stabil sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan kedudukan Malaysia sebagai pengeksport tenaga bersih juga membantu Malaysia menghadapi perubahan geoekonomi yang sedang berlaku, yang mencerminkan perubahan struktur yang masih terus berkembang dengan implikasi jangka panjang.
Meneliti sektor dengan lebih terperinci, Laporan Tinjauan dan Monetari 2025 yang dikeluarkan hari ini melaporkan bahawa sektor perkhidmatan, yang menyumbang 59.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dijangka mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus (2025: 5.5 peratus), dengan subsektor berkaitan pengguna dijangka kekal berdaya tahan memandangkan perbelanjaan isi rumah kekal menggalakkan.
“Aktiviti berkaitan permulaan operasi pusat data akan menyokong pertumbuhan subsektor ICT, sementara subsektor pengangkutan dan penyimpanan akan memperoleh manfaat daripada aliran trafik penumpang udara yang didorong ketibaan pelancong, permulaan projek LRT3 dan lebuh raya baharu,” katanya.
Sektor pengilangan, yang menyumbang 23 peratus kepada KDNK akan terus berkembang, namun pada kadar yang lebih sederhana sebanyak 4.3 peratus (2025: 4.5 peratus).
Industri E&E akan disokong oleh permintaan berkaitan AI, manakala industri berkaitan pengguna dijangka memperoleh manfaat daripada perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan.
Sementara itu, pertumbuhan sektor pertanian serta perlombongan dan pengkuarian dijangka menyusut ke dalam kontraksi dalam sumbangan kepada KDNK. Kedua sektor tersebut akan mencatatkan penyusutan sebanyak -1.0 peratus dan -1.2 peratus pada 2026 berbanding 2.2 peratus dan 0.7 peratus pada tahun sebelumnya.
Sektor pembinaan dijangka berkembang sebanyak 9.1 peratus, didorong aktiviti yang berterusan merentas semua subsektor.
“Walaupun beberapa projek infrastruktur besar hampir siap, pertumbuhan dalam subsektor kejuruteraan awam akan berterusan. Pertumbuhan ini akan disokong oleh perbelanjaan pembangunan Kerajaan yang mampan termasuk untuk penyediaan dan naik taraf infrastruktur awam penting seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2026,” katanya.
Meneliti prestasi pelaburan negara bagi tahun ini, BNM berkata aktiviti pelaburan akan terus berkembang meskipun pada kadar yang lebih sederhana.
“Persaingan yang semakin sengit daripada lebihan pengeluaran di China akan terus menjejaskan eksport bukan E&E. Namun demikian, sektor E&E dijangka mendapat manfaat daripada permintaan semikonduktor yang kukuh dan realisasi pelaburan pusat data yang berterusan,” katanya.
BNM turut memberi amaran bahawa konflik di Asia Barat boleh memberikan kesan negatif terhadap eksport dan aktiviti pelancongan dan memandangkan pengukuhan ekonomi negara masih berhadapan dengan risiko akibat sekatan perdagangan yang semakin meningkat dan ketidakpastian dasar yang ketara.
Secara keseluruhan, risiko pertumbuhan menjadi perlahan dari segi luaran berpunca daripada perdagangan global yang lebih lemah berikutan konflik di Asia Barat dan tarif.
Di dalam negeri, pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan akibat keadaan cuaca buruk atau penyelenggaraan yang tidak dirancang boleh menjejaskan prospek pertumbuhan.
“Dari sudut kemungkinan pertumbuhan menjadi pesat, prospek pertumbuhan global yang lebih baik daripada jangkaan, permintaan yang lebih mantap untuk E&E dan aktiviti pelancongan yang lebih rancak boleh meningkatkan prestasi eksport dan prospek pertumbuhan Malaysia,” katanya.
Pada 2025, ekonomi Malaysia berkembang pada 5.2 peratus berbanding 5.1 peratus pada tahun sebelumnya.
Menurut BNM, permintaan dalam negeri, terutamanya perbelanjaan sektor swasta akan kekal sebagai tunjang pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2026.
Guna tenaga akan terus berkembang, diterajui oleh pengambilan pekerja dalam sektor perkilangan dan perkhidmatann dengan kadar pengangguran dijangka kekal rendah pada 2.9 peratus.
Katanya penggunaan swasta diunjurkan berkembang sebanyak lima peratus, didorong keadaan pasaran pekerja yang kekal kukuh dan pertumbuhan pendapatan yang berterusan.
Tambahan pula, menurut bank pusat itu, aktiviti pelaburan dijangka mengekalkan momentumnya selaras dengan kitaran peningkatan pelaburan semasa, meskipun berkembang pada kadar yang lebih sederhana.
Pelaksanaan projek pelaburan bernilai tinggi yang diluluskan pada 2025 akan menyediakan asas kukuh untuk pertumbuhan yang berterusan dan ekosistem pengeluaran yang mendalam dan menyeluruh serta langkah dasar yang menyokong dijangka terus mengekalkan keyakinan pelabur.
BNM menjelaskan projek pelaburan awam yang sedang dilaksanakan, terutamanya dalam projek berkaitan pengangkutan dan tenaga akan terus menyokong pertumbuhan sepanjang tahun.
Projek tersebut termasuk projek Kasawari Carbon Capture Storage (CCS) oleh Petroliam Nasional Bhd, inisiatif Hidro dan Solar oleh Tenaga Nasional Bhd serta projek LRT Laluan Mutiara.
“Oleh itu, permintaan global yang kukuh untuk teknologi dan perkhidmatan berkaitan AI, bersama-sama pendigitalan dan automasi yang berterusan akan menyokong pertumbuhan pelaburan pada 2026,” katanya.
Prospek perdagangan Malaysia dijangka kekal mencabar pada 2026 memandangkan pengeksport berdepan dengan perkembangan baharu serta ketidakpastian berkaitan dengan tarif dan konflik geopolitik.
Bagaimanapun, menurut bank pusat itu, struktur eksport Malaysia yang pelbagai dan beberapa faktor sokongan dijangka dapat mengimbangi kesan daripada cabaran tersebut.
Pada masa yang sama, pertumbuhan import dijangka meningkat sejajar dengan pemulihan secara beransur-ansur import barangan pengantaraan bagi menyokong pengembangan berterusan eksport perkilangan.
Hal ini sebahagiannya akan diimbangi pertumbunan import barangan modal yang kembali normal selepas pengembangan yang kukuh pada 2025.
BNM berkata, kebanyakan sektor ekonomi dijangka berkembang dengan lebih perlahan pada 2026, dengan sektor perkhidmatan dan perkilangan dijangka terus memacu pertumbuhan secara keseluruhan.
Eksport kasar Malaysia dijangka berkembang sebanyak 8.6 peratus pada 2026 (2025: 6.4 peratus). Eksport perkilangan, yang mencakupi 86 peratus daripada jumlah eksport pada 2025 akan kekal sebagai pemacu utama dengan unjuran pengembangan sebanyak 9.6 peratus (2025: 7.7 peratus).
Pertumbuhan ini akan disokong oleh eksport E&E yang kukuh seiring dengan peralihan global ke arah teknologi berkaitan AI apabila peranan penting Malaysia dalam rantaian bekalan E&E global akan mendapat manfaat daripada permintaan berterusan terhadap semikonduktor dan komponen elektronik termaju.
Kejutan harga minyak konflik Asia Barat: Kesan terhadap pertumbunan dan inflasi Malaysia Sebagai ekonomi kecil yang terbuka, prospek pertumbuhan dan inflasi Malaysia sensitif terhadap perkembangan geopolitik dan harga tenaga global.
Konflik sebegini memberikan kesan terhadap ekonomi dalam negeri terutamanya melalui tiga saluran utama, iaitu pertama, harga tenaga yang lebih tinggi meningkatkan kos import dan seterusnya memberikan tekanan menaik terhadap kos pengeluaran dalam negeri dan harga pengguna.
Keadaan ini berpotensi melembapkan perbelanjaan isi rumah dan aktiviti perniagaan.
“Kedua, permintaan luaran yang lebih lemah berikutan kejutan harga minyak boleh menjejaskan eksport dan pertumbuhan keseluruhan. Ketiga, harga minyak yang kekal tinggi dan ketidaktentuan yang semakin ketara meningkatkan penghindaran risiko, lantas mendorong peralihan ke arah aset lebih selamat.
“Hal ini mengakibatkan aliran modal rentas negara menjadi lebih tidak menentu dalam kalangan ekonomi yang sedang pesat membangun, termasuk Malaysia dan berkemungkinan memberikan kesan limpahan yang menjejaskan keadaan kewangan dan kadar pertukaran asing,” menurut BNM.
Bagaimanapun, BNM menjelaskan bahawa kesan ini sebahagiannya boleh diimbangi oleh pendapatan daripada eksport berkaitan komoditi yang lebih tinggi berikutan kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih tenaga.
“Subsidi bahan api bersasar sedia ada juga boleh membantu mengurangkan penyaluran harga tenaga global yang lebih tinggi kepada inflasi dan ekonomi dalam negeri.
“Impak keseluruhan terhadap Malaysia akan bergantung pada tempoh konflik ini berlangsung, tahap keseriusan gangguan dan sejauh mana konflik tersebut menjejaskan pengeluaran tenaga global dan rantaian logistik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




