BEKAS legenda bola sepak Kedah, Nelson Sam Martin tampil dengan luahan hati menyayat perasaan apabila mendakwa berdepan kesukaran hidup akibat tunggakan gaji yang masih belum diselesaikan oleh Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
Nelson yang pernah menjadi tonggak utama Hijau Kuning menjulang kejuaraan berganda pada 2007 dan 2008 berkata, kali terakhir beliau menerima sebahagian kecil bayaran adalah pada 10 Januari lalu sebelum kelab didakwa tidak lagi memberi sebarang maklum balas terhadap usahanya mendapatkan penjelasan.
Menurutnya, dalam keadaan terdesak, beliau terpaksa berkongsi kod QR Touch ’n Go bagi memohon bantuan orang ramai, terutamanya penyokong Kedah untuk meringankan beban keluarga.
“Tunggakan gaji ini bukan sahaja melibatkan kontrak baharu yang ditandatangani pada November 2025, malah beberapa bulan daripada kontrak terdahulu juga masih belum dibayar.
“Selama lebih dua bulan saya ditinggalkan tanpa komunikasi atau sokongan. Saya dan keluarga kini bergelut untuk meneruskan hidup setiap hari, termasuk membayar sewa rumah dan keperluan asas,” katanya dalam kenyataan terbuka di media sosial pada Isnin.
Nelson yang berasal dari Chile kembali ke negeri ini menabur bakti sebagai Pengarah Teknikal bersama KDA FC pada 2024 berkata, beliau terpaksa mengambil keputusan untuk mendedahkan perkara tersebut secara terbuka selepas lama memikirkannya.
Jelasnya, beliau juga kini berdepan isu undang-undang di negara asalnya, namun terperangkap di Malaysia tanpa sumber kewangan.
Walaupun berdepan kesukaran, Nelson tetap menzahirkan penghargaan kepada penyokong Hijau Kuning yang disifatkan banyak memberi semangat sepanjang tempoh sukar ini.
“Malaysia ialah rumah saya. Saya bangga pernah berjuang demi bola sepak negeri Kedah dan impian saya kini adalah untuk terus berbakti sebagai jurulatih,” ujarnya.
Nelson turut berharap agar pihak pengurusan kelab, khususnya pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dapat tampil memberi penjelasan dan menyelesaikan isu tunggakan gaji dengan penuh hormat.
Menurutnya, beliau sentiasa menghormati kelab ini dan mengharapkan agar mendapat penghargaan sama daripada kelab sebagai balasan.
Walau bagaimanapun, sehingga kini, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak KDA FC berhubung dakwaan yang dikemukakan oleh Nelson itu.
Pada Ogos tahun lalu, KDA FC pernah menjelaskan status Nelson selepas menyedari terdapat perbincangan di media sosial termasuk isu tunggakan gaji yang dikaitkan dengan hal persekolahan anaknya.
Kelab menjelaskan beliau dibawa masuk oleh pengurusan musim 2024/2025 sebagai Pengarah Teknikal bersama beberapa pegawai lain yang pernah mencatat kejayaan bersama Kedah bagi memberi inspirasi dan motivasi untuk mengembalikan semangat kejayaan pasukan.
Namun, sepanjang musim tersebut, KDA FC berdepan cabaran kewangan serius yang mengakibatkan tunggakan gaji kepada pemain dan pegawai bagi kesemua empat pasukan yang bertanding dan Nelson juga tidak terkecuali.
Walaupun berdepan kekangan, kelab tetap berusaha menyalurkan sejumlah bayaran secara berperingkat kepada Nelson, termasuk untuk sewa rumah, perbelanjaan harian dan sebahagian yuran persekolahan anak, walaupun jumlah tersebut tidak penuh.
Selepas tamat musim, Nelson menyatakan hasrat untuk terus kekal di Kedah walaupun jawatan Pengarah Teknikal tidak lagi diperlukan dan percubaan untuk menempatkan beliau sebagai jurulatih tidak dapat dilaksanakan kerana kekangan syarat kelayakan kejurulatihan.
Ringkasan AI
- Bekas lagenda bola sepak Kedah, Nelson Sam Martin mengalami kesukaran hidup akibat tunggakan gaji oleh Kedah Darul Aman FC. Nelson mendakwa kali terakhir menerima bayaran adalah pada 10 Januari dan terpaksa meminta bantuan orang ramai. Tunggakan gaji melibatkan kontrak baharu dan terdahulu, menyebabkan Nelson bergelut untuk keperluan harian. Nelson berharap pengurusan kelab tampil menyelesaikan isu tersebut dan masih menghargai sokongan penyokong Kedah. Sehingga kini, belum ada kenyataan rasmi daripada KDA FC mengenai dakwaannya.



