am@hmetro.com.my
Shah Alam : Kerajaan Selangor bersedia membantu isteri dan anak-anak penunggang motosikal yang maut dilanggar pemandu mabuk dalam satu kemalangan di Jalan Raya Barat, Klang dekat sini, Ahad lalu.
Exco Wanita & Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari berkata, pihaknya akan menemui isteri mangsa, Nor Nadia Abdul Majid selepas semua urusan selesai selain memberi ruang dan tempoh bertenang kepada ibu kepada tiga anak.
“Sejak semalam, pegawai saya cuba menghubungi mereka dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor tetapi buat masa ini kita menghormati keadaan mereka.
“Sudah pasti anak-anaknya yang bersekolah dan menetap di Klang akan kita santuni selepas semua urusan pengebumian dan urusan keluarga di Perak selesai.
“Saya kira perkara yang lebih penting adalah nasib anak-anak dan ibu itu selepas kematian suaminya yang saya difahamkan arwah suaminya melakukan dua pekerjaan untuk menambah pendapatan keluarga
“Ini satu signal kepada negeri Selangor bahawa banyak keluarga-keluarga kecil yang sedang membesarkan anak-anak mereka terpaksa menampung pendapatan dengan lebih daripada hanya satu pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media diMajlis Townhall x Raya Wanita Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK yang dihadiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, di sini hari ini.
Mengulas lanjut Anfaal berkata, pihaknya akan melakukan ziarah dan mengenalpasti apa bentuk keperluan yang diperlukan termasuk cadangan pekerjaan yang sesuai kepada Nor Nadia yang akan menjadi ketua keluarga selepas ini.
“Di bawah kerajaan negeri, menerusi portfolio saya… kita ada program BINGKAS iaitu bantuan RM300 bulanan kepada ibu tunggal dan sudah pasti kita akan ziarah dulu dan kenal pasti apa keperluan mereka.
“Mungkin dari segi pekerjaan, kita ada usahakan contohnya kemahiran berniaga dan salah satu program yang ditandangani hari ini antara Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan Taylor’s University bagi pelaksanaan Program IbuNiaga, sebuah inisiatif pembangunan keusahawanan yang menyasarkan wanita B40 melalui latihan berstruktur, bimbingan.
“Kemahiran berniaga ini bukan semua orang mempunyai kemahiran, jadi kita perlu berikan kemahiran latihan dan juga asas penggunaan secara digital ataupun dalam talian,” katanya.
Pada masa sama katanya, beliau mengharapkan satu tindakan tegas yang perlu dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan berhubung isu ini.
“Dari segi perundangan sudah pasti hukuman penjara ataupun hukuman denda dan sebagainya itu lama terpakai dalam undang-undang tetapi bagaimana kita lakukan pencegahan itu lebih penting.
“Bagi negara-negara luar sebenarnya mereka ini tidak dibenarkan langsung untuk memandu jadi bagaimana pencegahan itu boleh kita laksanakan dengan penguasaan undang-undang yang lebih ketat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




