am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Seorang jurutadbir Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lima pertuduhan memperdaya seorang warga emas membabitkan urusan permohonan pembinaan bangunan dua tingkat di Rimba Terjun, Pontian, sejak lima tahun lalu.
Muhammad Nazri Abu Bakar, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan semua kertas pertuduhan, penjawat awam itu didakwa memperdaya seorang lelaki berusia 72 tahun untuk menyerahkan tiga keping cek dan wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM62,760.
Perbuatan itu mendorong mangsa untuk percaya bahawa tertuduh boleh menguruskan permohonan untuk membina bangunan dua tingkat di Mukim Rimba Terjun, Pontian.
Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di sebuah premis di Batu 36, Jalan Johor, Pontian antara 19 November 2021 hingga 30 Mei 2022 itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhd Faizul Kamaro Zaman menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Namun, peguam Mazri Muhammad yang mewakili tertuduh memohon jumlah yang lebih rendah memandangkan tertuduh menanggung isteri dan empat orang anak termasuk seorang anak autisme.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan menetapkan 7 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen.
© New Straits Times Press (M) Bhd




