Trump mahu ‘curi’ minyak, uranium milik Iran

Trump mahu ‘curi’ minyak, uranium milik Iran
Trump mahu ‘curi’ minyak, uranium milik Iran

Imej satelit menunjukkan fasiliti nuklear di Isfahan yang musnah dibedil ketika kempen pencerobohan AS bersama Israel pada Jun 2025.

WASHINGTON – Objektif kempen pencerobohan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran yang berlarutan selama lebih sebulan masih samar-samar, namun beberapa laporan mendedahkan rancangan sebenar yang mahu dicapai Presiden Donald Trump.

Menerusi wawancara bersama Financial Times pada akhir minggu lalu, pemimpin Republikan itu tidak menolak kemungkinan tentera AS merampas hab eksport utama minyak utama di Pulau Kharg setelah kempen tekanan ke atas Selat Hormuz gagal menundukkan Teheran.

Trump dengan angkuh menyatakan ‘keutamaan’ mereka adalah untuk mengawal industri minyak dan eksport Iran secara berpanjangan seperti yang dilakukan ke atas Venezuela.

“Kami ada banyak pilihan dan ia bermakna pasukan tentera AS perlu ditempatkan di Pulau Kharg buat sementara,” ujarnya yang sekali lagi memandang rendah sistem pertahanan yang telah diperkukuhkan Iran di kemudahan tersebut.

Spekulasi mula timbul tentang potensi operasi darat selepas ribuan askar elit daripada Divisyen Payung Terjun ke-82 dilaporkan sudah mula tiba di Asia Barat.

Wall Street Journal pula melaporkan Trump mempertimbangkan operasi ketenteraan untuk merampas stok uranium diperkaya milik Teheran yang didakwa sudah hampir mencapai gred penghasilan senjata.

Sebelum perang 12 hari dilancarkan AS bersama Israel pada Jun 2025, Iran dipercayai menyimpan lebih 400 kilogram (kg) uranium diperkaya dan 200kg bekalan yang hampir mencapai gred penghasilan senjata nuklear yang disimpan di fasiliti bawah tanah di Isfahan serta Natanz.

Ketika ini, Trump dilihat kian ‘tertekan’ dengan kempen ugutan sendiri selepas Teheran berulang kali menafikan sebarang rundingan bersama Washington malah terus mempertahankan pendirian tegas mereka. – Agensi

Ringkasan AI

  • Objektif pencerobohan AS ke atas Iran masih samar tetapi Trump ingin merampas hab eksport minyak Pulau Kharg.
  • Trump menyatakan keutamaan adalah mengawal industri minyak dan eksport Iran secara berpanjangan.
  • Askar elit AS sudah mula ditempatkan di Asia Barat, menunjukkan potensi operasi darat.
  • Trump mempertimbangkan operasi ketenteraan untuk merampas stok uranium diperkaya Iran.
  • Iran menafikan sebarang rundingan dengan Washington dan terus mempertahankan pendirian mereka.
Scroll to Top