Bahagikan Masa Belajar Dengan Kerjaya Seni, Alyssa Dezek Cemerlang Raih ‘Sraight A’ SPM 2025 – “Kelas Dalam Talian Banyak Bantu Saya”

Bahagikan Masa Belajar Dengan Kerjaya Seni, Alyssa Dezek Cemerlang Raih ‘Sraight A’ SPM 2025 – “Kelas Dalam Talian Banyak Bantu Saya”

Walaupun sibuk membahagikan masa dalam kerjaya seni dan pelajaran, penyanyi muda yang semakin mencuri perhatian, Alyssa Dezek, 18, membuktikan dua bidang itu boleh bergerak seiring apabila berjaya memperoleh keputusan ‘straight A’ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang diumumkan hari ini.

Pencapaian tersebut bukan sahaja menggembirakan keluarga dan peminat, malah menjadi dorongan kepada golongan muda bahawa pendidikan tidak seharusnya diketepikan walaupun sibuk dengan dunia hiburan.

Alyssa yang juga merupakan Ikon PTTI berkongsi, antara faktor utama kejayaannya adalah disiplin serta konsistensi dalam mengikuti pembelajaran yang teratur menerusi platform digital.

Sepanjang membuat persediaan menghadapi SPM, dia mengikuti kelas dalam talian bagi kesemua sembilan mata pelajaran.

ARTIKEL BERKAITAN: Dikecam Selepas Raih 6A Dalam Trial SPM, Alyssa Dezek Nekad Buktikan Kejayaan Hasil Usaha Sendiri

Pendekatan itu disifatkan banyak membantu dalam memahami topik dengan lebih mendalam, selain memudahkan pengurusan masa di tengah jadual seni yang padat.

“Saya bersyukur dengan keputusan yang diperoleh. Perjalanan ini memang mencabar sebab saya perlu seimbangkan komitmen dalam bidang seni dan pelajaran. Namun saya yakin, dengan disiplin dan kaedah belajar yang betul, kita mampu capai apa yang diimpikan,” katanya.

Dalam masa sama, Alyssa turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa, para guru serta platform tersebut yang sentiasa memberi sokongan sepanjang tempoh pembelajarannya.

“Platform tersebut banyak bantu saya kekal fokus. Kelas yang fleksibel dan teknik pembelajaran yang mudah faham sangat membantu. Saya memang sertai semua kelas untuk sembilan subjek dan itu antara faktor utama saya dapat keputusan cemerlang,” kongsinya.

Kejayaan yang diraih Alyssa turut memperlihatkan kepentingan pembelajaran digital sebagai alternatif berkesan dalam membantu pelajar mencapai prestasi terbaik, khususnya dalam era yang menuntut fleksibiliti dan akses tanpa had.

Sebagai figura muda yang berjaya menyeimbangkan dunia hiburan dan akademik, Alyssa menjadi contoh positif kepada remaja Malaysia untuk terus mengejar ilmu tanpa mengabaikan potensi diri dalam bidang lain.

Scroll to Top