Kemalangan dua lori korbankan seorang lelaki

Kemalangan dua lori korbankan seorang lelaki

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Kemalangan membabitkan dua lori tangki di Kilometer 40.6 (arah utara) Lebuhraya Utara-Selatan dekat laluan Kulai ke Sedenak, tengah hari tadi mengorbankan seorang lelaki, manakala seorang lagi cedera.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPPM) Johor berkata, seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Renggam dan Bandar Baru Kulai dengan tiga unit fire rescue tender (FRT) ke lokasi kemalangan itu sejurus menerima panggilan.

Katanya, kemalangan membabitkan satu lori dengan muatan tepung, manakala sebuah lagi tiada muatan.

“Lori tangki tanpa muatan terbakar sebanyak 80 peratus. Pemandunya tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian, namun kematiannya bukan berpunca daripada kebakaran.

“Pemandu lori membawa tepung pula berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan diserahkan kepada petugas kesihatan sebelum anggota bomba tiba ke lokasi kejadian.

“Operasi tamat pada jam 2.28 petang,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, mayat pemandu lori yang maut sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, media melaporkan kemalangan dua kenderaan berat itu menyebabkan kesesakan lalu lintas sehingga 10 kilometer.

PLUS Malaysia Berhad menerusi aplikasi X memaklumkan sehingga 1.23 tengah hari, semua lorong arah utara masih ditutup dan trafik dilencongkan keluar ke Plaza Tol Kulai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top