Jawatankuasa Parlimen Iran lulus rancangan tol Selat Hormuz

Jawatankuasa Parlimen Iran lulus rancangan tol Selat Hormuz
Jawatankuasa Parlimen Iran lulus rancangan tol Selat Hormuz

Peraturan baharu itu termasuk mewajibkan kapal membayar yuran transit dalam mata wang nasional Iran, rial. Foto Agensi

ISTANBUL- Sebuah jawatankuasa utama dalam Parlimen Iran meluluskan rancangan pengenaan tol bagi kapal-kapal yang melalui Selat Hormuz, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan.

Langkah itu, yang telah melepasi Suruhanjaya Keselamatan Nasional, menggariskan siri peraturan baharu yang mengawal selia laluan air strategik berkenaan, termasuk peruntukan kewangan yang mewajibkan kapal membayar yuran transit dalam mata wang nasional Iran, rial.

Memetik laporan Agensi Berita Fars, ahli suruhanjaya Mojtaba Zarei berkata, rang undang-undang itu turut merangkumi sekatan yang melarang kapal-kapal yang mempunyai kaitan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel daripada melalui selat itu.

Peruntukan tambahan itu juga akan melarang akses bagi negara-negara yang menyertai sekatan unilateral terhadap Iran.

Perundangan berkenaan perlu melepasi undian penuh parlimen sebelum disemak oleh Majlis Pengawal dan ditandatangani oleh presiden untuk dikuatkuasakan sebagai undang-undang.

Ketegangan serantau terus memuncak sejak Israel dan AS melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Februari, yang mengorbankan lebih 1,340 orang, termasuk Pemimpin Agung ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei.

Iran telah membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq, serta negara-negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, sehingga mengakibatkan kemalangan jiwa dan kerosakan infrastruktur, selain menjejaskan pasaran global serta sektor penerbangan. – Bernama-Anadolu

 

 

 

Ringkasan AI

  • Jawatankuasa Parlimen Iran luluskan tol kapal di Selat Hormuz.
  • Kapal harus bayar yuran transit dalam mata wang Iran.
  • Kapal berkaitan AS dan Israel dilarang lalu di selat itu.
  • Negara sokong sekatan unilateral terhadap Iran juga dilarang.
  • Undang-undang perlu diluluskan parlimen dan Majlis Pengawal.
Scroll to Top