PETALING JAYA: Hasrat pelumba trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati untuk mempertahankan emas acara 1 kilometer (km) ujian masa tidak kesampaian selepas sekadar meraih pingat perak pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 di Velodrom Tagaytay, Filipina, hari ini.
Pada aksi final itu, pelumba China, Luo Xuehuang muncul juara dengan catatan 1 minit 5.120 saat (s), manakala Izzah mencatat 1:06.916s untuk kedudukan kedua.
Pingat gangsa menjadi milik pelumba Korea Selatan, Hwang Hyeonseo yang merekodkan masa 1:07.269s.
Izzah yang juga pemegang rekod Asia memulakan perlumbaan dengan baik apabila mencatat 20.370s pada 250 meter pertama sebelum sedikit ketinggalan di pertengahan saingan.
Catatan 34.809s di 500m dan 50.187s di 750m menyaksikan pelumba negara itu gagal menyaingi kepantasan konsisten dipamerkan Luo.
Kegagalan mempertahankan emas itu menyaksikan Izzah terlepas peluang untuk mengulangi pencapaian cemerlangnya pada edisi 2025.
Sementara itu, dalam acara lelaki, Muhammad Fadhil Mohd Zonis menamatkan saingan di tempat keempat dengan catatan 1:00.832s.
Emas acara tersebut dimenangi pelumba Kazakhstan, Kirill Kurdidi yang mencatat 59.915s diikuti Xie Han dari China (59.929s) dan Ichida Ryuto dari Jepun (1:00.614s).
Secara keseluruhan skuad senior kali ini meraih dua pingat perak selepas Izzah turut membantu trio pecut berpasukan wanita meraih perak.
Untuk rekod, pada edisi tahun lalu di Velodrom Nasional Nilai skuad senior meraih dua emas, empat perak dan empat gangsa.- UTUSAN




