Kerajaan menafikan dakwaan media antarabangsa Bloomberg yang melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta penangguhan pendedahan hasil siasatan berkaitan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri berkata, Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan susulan terhadap Bloomberg berhubung laporan tersebut.
“Selaras dengan pembentangan Jawatankuasa Siasatan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac 2026, prosiding telah dimulakan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, proses berkenaan memerlukan pematuhan tatacara tertentu dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Semalam, Bloomberg melaporkan bahawa Anwar didakwa menggesa Jawatankuasa Khas Siasatan menangguhkan pendedahan dapatan siasatan berkaitan isu pemilikan saham Azam kepada umum.
Laporan itu turut mendakwa penangguhan berkenaan dibuat sehingga siasatan berasingan mengenai dakwaan pakatan sulit melibatkan beberapa ahli perniagaan dan pegawai SPRM selesai.
Dalam laporan sama, Bloomberg menyatakan Azam memiliki 17.7 juta saham, bersamaan 1.7 peratus pegangan dalam Velocity Capital Bhd berdasarkan penyata tahunan syarikat yang difailkan tahun lalu.

Artikel lain: Bukan hanya laporan Bloomberg! Nurul Izzah gesa polis fokus siasatan dakwaan saham Azam Baki
Beliau turut didakwa melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang mengehadkan pegangan saham penjawat awam, namun Azam sebelum ini menegaskan urus niaga berkenaan telah diisytiharkan dan saham tersebut sudah dilupuskan.
Terdahulu, Azam melalui peguamnya telah memfailkan saman terhadap Bloomberg dengan tuntutan ganti rugi sebanyak RM100 juta berhubung laporan itu.
Bagaimanapun, Bloomberg kekal mempertahankan laporan yang diterbitkannya.
Sumber: FB Shamsul Azri bin Abu Bakar




