am@hmetro.com.my
Kota Bharu: “Saya lebih rela majlis perkahwinan anak tunggal perempuan kami dibatalkan bagi mengelakkan kejadian lebih teruk berlaku ketika dia sudah bergelar isteri,” kata pengasas kosmetik, Fara Sharina Zamari, 37.
Perkahwinan anak sulungnya, Putri Fasha Felisa Mohd Izhan, 19, sepatutnya dilangsungkan semalam.
Namun ia dibatalkan sebaik mengetahui anaknya itu dikasari sehingga berlaku kecederaan fizikal.
Katanya lagi, persiapan untuk meraikan hari bermakna anaknya itu sudah hampir selesai malah kad jemputan juga sepatutnya diedarkan awal Ramadan lalu.
“Namun selepas insiden dibelasah pada 21 Februari itu diketahui, tali pertunangan yang termeterai selama tiga bulan segera diputuskan.
“Segala persiapan untuk majlis perkahwinan kakak (Putri Fasha Felisa) sudah hampir selesai dan semuanya pilihan kakak termasuk tema ‘English Style’ dengan lokasinya di Padang Polo, Kemumin dibatalkan.
“Cincin pertubangan juga sudah dikembalikan manakala di pihak lelaki, tiada sebarang bantahan diterima.
“Saudara mara serta rakan taulan sangat memahami dan tidak bertanyakan hal berkaitan,” katanya ketika ditemui di sini.
Fara Sharina berkata, tarikh 31 Mac untuk melangsungkan hari bahagia dipilih anaknya sendiri sebagai persamaan kepada tarikh lahirnya iaitu 31 Ogos manakala wang hantaran yang dipersetujui juga berjumlah RM31,000.
Menurutnya lagi, tidak hanya sedih dengan kejadian yang menimpa anaknya, mereka juga menanggung kerugian kira-kira RM150,000 iaitu kos penganjuran majlis termasuk katering, pelamin dan pembelian busana untuk sanak saudara.
Dia berkata, kerugian itu tidak seberapa jika dibandingkan trauma yang dialami anaknya sehingga kini.
Mereka sekeluarga masih berikhtiar untuk memulihkan semangat Putri Fasha Felisa.
“Siapa tidak sedih apabila satu-satunya anak perempuan diperlakukan begini namun kami bersyukur kerana sekurang-kurangnya ia berlaku sebelum mereka berumahtangga.
Media sebelum ini melaporkan mangsa dikasari bekas tunangnya termasuk dipukul, dicekik, ditendang serta diseret menyebabkan anak sulung daripada empat beradik itu mengalami lebam dan bengkak di keseluruhan badan.
Pada 18 Mac lalu, bekas tunangnya yang berusia 20 tahun dijatuhkan hukuman denda RM1,500 atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas mangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




