Lima doktor ditahan terlibat sindiket jual buah pinggang

Lima doktor ditahan terlibat sindiket jual buah pinggang

KANPUR – Lima doktor antara enam individu yang ditahan pihak berkuasa kerana disyaki terlibat dalam sindiket pemerdagangan organ haram bernilai jutaan rupee di sini.

Kegiatan itu terbongkar susulan pertikaian melibatkan Rs50,000 (RM2,165) yang membawa kepada pendedahan rangkaian jual beli buah pinggang.

Kes berkenaan didedahkan oleh seorang pelajar ijazah kedoktoran dari Samastipur, dikenali sebagai Ayush yang membuat laporan polis selepas mendakwa ditipu dalam urusan menjual buah pinggangnya.

Menurutnya, dia dijanjikan bayaran sebanyak Rs10 lakh (RM43,311), namun hanya menerima Rs9.5 lakh (RM41,146) iaitu kurang Rs50,000 daripada jumlah dipersetujui.

Susulan laporan itu, siasatan pihak berkuasa mendedahkan sindiket berkenaan membeli buah pinggang pada harga sekitar Rs10 lakh sebelum menjualnya sehingga Rs60 lakh kepada pesakit yang memerlukan.

Polis turut mengesan penglibatan seorang pemandu ambulans, Shivam Agarwal yang dipercayai menggunakan platform media sosial seperti Telegram bagi menyasarkan individu muda yang berdepan masalah kewangan.

Difahamkan, sekurang-kurangnya 40 pembedahan haram telah dijalankan termasuk melibatkan warga asing, sekali gus menjadikan kes itu antara sindiket pemerdagangan organ terbesar yang pernah dikesan di kawasan tersebut.

Berdasarkan maklumat risikan yang diperoleh, serbuan bersama telah dijalankan oleh polis dan jabatan kesihatan lewat malam Isnin di tiga hospital di kawasan Kalyanpur, termasuk Hospital Ahuja, Hospital Priya dan Hospital Med Life.

Dalam serbuan tersebut, Hospital Med Life didapati beroperasi tanpa pendaftaran.

Polis turut menemui Ayush di hospital berkenaan sebelum memindahkannya ke hospital kerajaan untuk rawatan lanjut akibat keadaannya yang kritikal.

Polis turut menahan Dr Surjit Singh Ahuja, pemilik Hospital Ahuja, isterinya, Dr Preeti Ahuja, Dr Rajesh Kumar, Dr Ram Prakash, Dr Narendra Singh serta Shivam Agarwal.

Pihak berkuasa kini sedang memburu empat lagi doktor yang dipercayai dalang utama di sebalik operasi haram tersebut.

Antara yang masih bebas ialah Dr Afzal, yang peranannya termasuk mengunjungi pusat dialisis bagi mengenal pasti pesakit dan memujuk mereka menjalani pemindahan buah pinggang.

Serbuan turut giat dijalankan bagi mengesan Dr Rohit dan Vaibhav Anurag, yang merupakan doktor utama dalam pasukan pembedahan.

Ringkasan AI

  • Enam individu termasuk lima doktor ditahan kerana terlibat sindiket pemerdagangan organ haram di Kanpur.
  • Pelajar kedoktoran, Ayush, dedah aktiviti haram setelah ditipu dalam jualan buah pinggang.
  • Sindiket beli buah pinggang pada harga Rs10 lakh dan jual semula sehingga Rs60 lakh.
  • 40 pembedahan haram dijalankan, melibatkan warga asing, menjadikan kes ini terbesar di kawasan tersebut.
  • Tiga hospital diserbu, Hospital Med Life didapati beroperasi tanpa pendaftaran; beberapa doktor masih diburu.
Scroll to Top