puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi, Azza Elite menitipkan kata-kata semangat buat anak perempuan pasangan selebriti Abby Abadi dan Norman Hakim iaitu Marissa Dania, agar segera bangkit serta mencari kebahagiaan sendiri dalam mendepani kemelut rumah tangga yang melanda.
Azza atau nama sebenarnya Noor Azzarima Zawari, 49, menerusi satu komen di hantaran Marissa, mengharapkan agar isteri kedua kepada pempengaruh itu diberikan kemudahan dan keberanian untuk membuat keputusan demi masa depannya.
“Adik, ‘make a move please’ (tolong bertindak). Auntie Azza doa adik dikurniakan kemudahan dalam menangani isu ini. Auntie Azza tahu adik bijak dan adik semakin nampak (kebenaran).
“Awak akan temui kebahagiaan sendiri nanti. Semoga Allah permudahkan urusan adik,” katanya.
Dalam hantaran yang sama, Azza turut menitipkan pesanan agar Marissa tidak lagi menoleh ke belakang sekiranya perkara yang dihadapi hanya melambatkan proses untuk bahagia.
“Kalau jalan itu lambat, adik berlarilah. Semua orang nak adik bahagia, adik kena tahu itu. Semua orang sayang adik.
“Adik ‘move’ (bergerak) saja. Adik sudah buat satu benda baik untuk orang. Pengorbanan adik itu tidak akan sia-sia dan Allah akan ganti yang lebih baik,” katanya lagi.
Semalam, Marissa mendakwa isu lama membabitkan dirinya dan suami terus dibangkitkan pihak tertentu. Malah, Marissa menegaskan bahawa perkara yang berlaku sebelum perkahwinan tidak sepatutnya dijadikan isu.
Terdahulu, pada pagi Isnin, Marissa bersama suaminya, Ahmad Aslam hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk membabitkan perkahwinan mereka.
Menurut peguam syarie mewakili Aslam, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri, anak guamnya itu telah melafazkan cerai dan rujuk terhadap isteri keduanya sebanyak dua kali.
Difahamkan, lafaz cerai pertama berlaku pada September 2024 sebelum pasangan itu kembali rujuk pada bulan sama. Namun, pada April 2025, Aslam sekali lagi melafazkan cerai sebelum mereka dilaporkan rujuk semula pada Jun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




