Syarikat, dua pengarah didakwa miliki minyak pelincir kenderaan tiruan

Syarikat, dua pengarah didakwa miliki minyak pelincir kenderaan tiruan

rnoraina@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Sebuah syarikat dan dua pengarahnya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan memiliki 229 unit minyak pelincir kenderaan tiruan, tahun lalu.

Syarikat M Perfect Lubricant Sdn Bhd yang diwakili pengarah Khoo Zi Sheng, 42, dan seorang lagi pengarah Yap Kok Lim, 43, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mempunyai dalam kawalan bagi maksud perdagangan apa-apa barang iaitu 229 unit minyak pelincir kenderaan dua jenama terkenal yang juga suatu cap dagangan berdaftar yang dipakaikan dengan salah di bawah Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Taman Perindustrian Jaya, di sini, kira-kira jam 11.45 pagi pada 29 April 2025.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 102(1)(i) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM15,000 bagi setiap barangan yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar itu, manakala denda sehingga RM30,000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya.

Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Salim Wahid memohon ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua OKS serta melapor diri di pejabat KPDN Putrajaya sebulan sekali sehingga kes selesai.

Peguam Khaw Thian Keat yang mewakili kedua-dua OKS pula memohon jaminan rendah kerana anak guamnya memberi kerjasama baik sepanjang siasatan.

Mahkamah kemudian membenarkan OKS masing-masing diikat jamin RM7,500 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan yang dinyatakan pihak pendakwaan.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, Khoo turut didakwa atas dua pertuduhan sama dan mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Noor Ruzilawati Mohd Nor.

Khoo dibenarkan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin selain diarah melapor diri di pejabat KPDN Putrajaya setiap bulan serta tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai.

Pada 29 April tahun lalu, Harian Metro melaporkan taktik sindiket membotolkan minyak enjin kenderaan palsu menyerupai jenama popular sebelum diiklankan di platform e-dagang dan bengkel bagi mengaut keuntungan berganda, dibongkar.

Serbuan dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama KPDN di tiga premis perniagaan di Ara Damansara di sini, dan Kepong, Kuala Lumpur berjaya menahan 13 individu serta merampas minyak enjin bernilai jutaan ringgit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top