London: Honda sedang merancang kemungkinan untuk menurunkan enam jentera di grid MotoGP musim depan, satu sasaran yang bergantung kepada kejayaan mereka mendapatkan perjanjian dengan pasukan satelit kedua, menurut laporan Motorsport.com.
Antara 2014 hingga 2019, Honda mengurangkan jumlah jenteranya di grid MotoGP daripada lapan kepada hanya empat.
Namun, Motorsport.com difahamkan pengeluar dari Tokyo itu kini sudah merancang musim depan dengan andaian mereka akan menambah dua lagi jentera prototaip, sekali gus kembali ke tahap 2018 apabila mereka menurunkan enam jentera.
Ia termasuk dua bersama pasukan kilang dan masing-masing dua lagi bersama LCR serta Marc VDS selaku pasukan pelanggan mereka.
Langkah itu akan memperluaskan pilihan strategik Honda dalam beberapa aspek, khususnya dari segi pembangunan jentera serta pengurusan dan penempatan pelumba.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, pihak pengurusan pengeluar Jepun itu dilaporkan mengekalkan saluran komunikasi terbuka dengan semua rakan berpotensi yang ada, walaupun keadaan pasaran semasa banyak mengehadkan ruang gerak mereka.
Honda dikatakan pernah meneroka kemungkinan bekerjasama dengan Trackhouse dan Gresini.
Bagaimanapun, pasukan dari Amerika Syarikat (AS) itu difahamkan tidak berhasrat menamatkan hubungan mereka dengan Aprilia.
Pada masa sama, pasukan yang berpangkalan di Faenza itu sedang memuktamadkan butiran pembaharuan kerjasama mereka dengan Ducati, walaupun terpaksa menerima hakikat akan kehilangan Alex Marquez dan Fermin Aldeguer bagi musim 2027.
Ia selepas Alex dikatakan menuju ke KTM, manakala Aldeguer pula akan berlumba bersama VR46, yang memanfaatkan status mereka sebagai pasukan yang mendapat sokongan langsung Ducati.
Situasi itu mendorong pemilik Gresini, Nadia Padovani untuk meninjau pilihan rakan teknikal lain sebelum akhirnya sekali lagi cenderung menerima tawaran daripada ibu pejabat Ducati di Borgo Panigale, terutama dengan prospek membentuk barisan pelumba yang menarik susulan ketibaan Dani Holgado.
Ketika ini, laluan bersama Tech3 semakin dilihat sebagai pilihan paling realistik.
Pasukan yang pernah dimiliki Herve Poncharal itu dan dijual beberapa bulan lalu kepada kumpulan pelaburan dengan Guenther Steiner sebagai wajah utama, dikatakan sudah lama mempertimbangkan kemungkinan menukar pembekal jentera susulan ketidaktentuan mengenai hala tuju masa depan KTM di bawah Bajaj, kumpulan dari India yang mengambil alih syarikat Austria itu.
Jika Honda berjaya mengembangkan operasi mereka kepada enam jentera berbanding hanya empat ketika ini, ia akan memberi mereka fleksibiliti jauh lebih besar dalam mengurus barisan pelumba.
Difahamkan, satu-satunya perkara yang sudah hampir pasti ketika ini ialah Fabio Quartararo, yang dijangka mengisi salah satu daripada dua tempat dalam pasukan kilang.
Ini bermakna Joan Mir atau Luca Marini atau mungkin kedua-duanya sekali perlu mengosongkan tempat masing-masing.
Selain Quartararo, hanya dua pelumba yang masih mempunyai kontrak bersama Honda selepas 2026 iaitu pasangan LCR, Diogo Moreira dan Johann Zarco.
Pelumba Brazil itu yang juga pendatang baharu dalam kategori utama musim 2026 ini, dilihat sebagai prospek jangka panjang dengan kontraknya berjalan sehingga 2028 manakala kontrak pelumba Perancis itu akan tamat pada 2027.
HRC dilaporkan menyasarkan untuk mendapatkan David Alonso, yang akan naik dari Moto2, sebelum membuat keputusan sama ada mahu meletakkannya bersama Quartararo dalam pasukan kilang atau membangunkannya terlebih dahulu dalam pasukan satelit sebelum dinaikkan kemudian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




