sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka mengambil pendekatan lebih tegas terhadap pemain yang ingin meninggalkan badan induk itu selepas ini, termasuk kemungkinan mengenakan pampasan berdasarkan kontrak sedia ada.
Presidennya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, perkara itu harus dipandang serius agar oleh setiap pemain dan perkara itu juga akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis BAM pada kejohanan Malaysia Masters, Mei depan.
Menurutnya, perkara berkenaan turut mendapat pandangan legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei yang mahu badan induk itu lebih bertegas dalam soal pematuhan kontrak pemain.
“Bukan soal kita bayar pampasan, tetapi pemain yang meninggalkan BAM perlu membayar pampasan kepada kita. Perkara ini akan dibawa ke mesyuarat Majlis pada Mei nanti.
“Chong Wei ada pandangan beliau sendiri, sebagai pemain legenda yang tidak pernah meninggalkan BAM, beliau mahu memastikan pemain yang keluar perlu memberi pampasan kerana pelaburan dibuat ke atas mereka sangat besar, mencecah jutaan ringgit,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, hari ini.
Tambah Zafrul, dari sudut tadbir urus, cadangan itu dilihat wajar kerana ia selari dengan amalan dalam sektor lain yang menetapkan bayaran tertentu jika kontrak tidak dipenuhi.
“Kalau kita lihat di tempat lain, seperti biasiswa atau tajaan syarikat, jika tidak memenuhi tempoh ditetapkan, memang perlu bayar balik. Jadi dari segi prinsip, saya tiada masalah, cuma kita mahu lihat perincian dahulu,” katanya.
Tambahnya, BAM sebenarnya sudah mempunyai klausa kontrak yang membolehkan tindakan diambil terhadap pemain yang melanggar perjanjian, namun dalam beberapa kes sebelum ini ia tidak dikuatkuasakan sepenuhnya.
“Memang sebelum ini ada klausa dalam kontrak pemain, terutama pemain utama, jika mereka tidak mematuhi perjanjian atau melanggar kontrak, mereka perlu membayar pampasan.
“Cuma ada ketika kita mengambil pendekatan untuk tidak menguatkuasakan klausa itu. Namun pandangan Chong Wei adalah kita tidak sepatutnya berbuat demikian dan perlu lebih tegas selepas ini,” katanya.
Untuk makluman, sebelum ini terdapat beberapa pemain yang pernah meninggalkan BAM tanpa perlu membayar pampasan seperti Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (beregu lelaki) dan pemain beregu wanita, Go Pei Kee.
© New Straits Times Press (M) Bhd




