Harga diesel Semenanjung naik 50 sen kepada RM6.02 seliter

Harga diesel Semenanjung naik 50 sen kepada RM6.02 seliter

hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Harga runcit diesel di Semenanjung meningkat sebanyak 50 sen kepada RM6.02 seliter, manakala harga di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter bagi tempoh 2 hingga 8 April ini.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, harga petrol RON97 pula turun 20 sen kepada RM4.95 seliter, sementara petrol RON95 tanpa subsidi kekal pada RM3.87 seliter bagi tempoh sama.

Menurut kenyataan itu, penetapan harga runcit produk petroleum dibuat berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) selaras dengan pergerakan harga minyak mentah dunia.

“Kerajaan terus mengekalkan harga bahan api bersubsidi bagi memastikan pengguna tidak terkesan secara langsung dengan turun naik harga pasaran global.

“Selain itu, semakan harga runcit bahan api dilaksanakan secara mingguan bagi mencerminkan perubahan harga minyak dunia serta memastikan ketelusan dalam penetapan harga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan turut menegaskan komitmen untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara melalui pendekatan bersasar dalam pelaksanaan subsidi bahan api.

“Harga runcit bahan api akan terus dipantau dari semasa ke semasa, selaras dengan perkembangan pasaran minyak global,” katanya.

Bermula 1 April 2026, had kelayakan pembelian di bawah program BUDI95 turut diselaraskan kepada 200 liter sebulan sebagai langkah sementara sehingga keadaan bekalan global kembali stabil.

Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan turut melaksanakan had pengisian diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan bagi mengekang ketirisan serta aktiviti penyeludupan.

“Had ditetapkan sebanyak maksimum 50 liter setiap pembelian bagi kenderaan ringan pengangkutan darat awam, barangan dan persendirian.

“Bagi kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan tidak melebihi tiga tan, had pengisian ditetapkan sebanyak 100 liter setiap pembelian, manakala kenderaan melebihi tiga tan dibenarkan mengisi sehingga 150 liter setiap pembelian,” katanya.

Sebagai langkah interim susulan kenaikan harga diesel, kerajaan turut mengekalkan bantuan tunai tambahan BUDI Diesel sebanyak RM100 bagi bulan April, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan RM300 kepada penerima BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi.

Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan sedang mempertimbangkan langkah jangka sederhana dan panjang bagi memastikan mekanisme subsidi kekal mampan, telus serta memberi manfaat kepada rakyat, dengan mengambil kira perkembangan semasa krisis tenaga global.

“Kerajaan MADANI juga akan terus mengimbangi keperluan fiskal dengan perlindungan rakyat secara teliti dan berhemah bagi memastikan kesejahteraan ekonomi negara serta kelangsungan hidup rakyat terus terpelihara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top