Stockholm: Sweden bangkit daripada kegelapan untuk kembali ke Piala Dunia selepas menewaskan Poland 3-2 hasil jaringan dramatik saat akhir, sekali gus melengkapkan kebangkitan luar biasa di bawah kendalian Graham Potter.
Kejayaan itu cukup manis buat Potter yang hanya mengambil alih pasukan pada Oktober lalu ketika Sweden hampir tersingkir dengan hanya satu mata daripada enam perlawanan kelayakan.
Namun jurulatih dari England itu berjaya mengubah nasib pasukan dengan pendekatan lebih ringkas dan efektif, sekali gus menghidupkan semula harapan yang hampir padam.
“Ini malam terbaik dalam hidup saya,” kata Potter yang jelas terharu selepas wisel penamat.
Sweden sebelum ini bergelut di bawah kendalian Jon Dahl Tomasson dengan taktikal kompleks, namun Potter memperkenalkan sistem lebih mudah termasuk pertahanan zonal yang lebih tersusun.
Walaupun kehilangan dua bintang utama, Dejan Kulusevski dan Alexander Isak akibat kecederaan, Sweden tetap tampil berbisa menerusi penyerang utama Viktor Gyokeres.
Gyokeres muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-88 untuk memastikan Sweden melangkah ke pentas dunia.
Lebih mengujakan, kejayaan itu hadir selepas Sweden sebelum ini diejek penyokong sendiri, namun kini kembali mendapat sokongan penuh.
Sweden diundi dalam kumpulan bersama Belanda, Jepun dan Tunisia, sekali gus berdepan cabaran sengit di Piala Dunia.
Namun dengan momentum semasa, Sweden kini bukan lagi pasukan yang dipandang rendah, sebaliknya muncul sebagai antara pasukan yang mampu mencipta kejutan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




