asmaini@mediaprima.com.my
TREND menangguhkan perkahwinan dalam kalangan wanita masa kini semakin ketara, seiring perubahan landskap sosial, ekonomi dan budaya.
Jika dahulu, perkahwinan pada usia muda dianggap normal, kini ramai wanita memilih untuk memberi keutamaan kepada pembangunan diri terlebih dahulu.
Keputusan ini bukan lagi dilihat sebagai sesuatu yang luar biasa, sebaliknya mencerminkan perubahan pemikiran generasi moden yang lebih berdikari dan berwawasan.
Antara faktor utama ialah keinginan untuk mencapai kestabilan kerjaya.
Wanita hari ini lebih berpeluang dalam bidang pendidikan dan pekerjaan, sekali gus membuka ruang untuk mereka mengejar cita-cita tanpa terikat dengan komitmen rumah tangga pada peringkat awal.
Ramai juga yang mahu memastikan kedudukan kewangan kukuh sebelum melangkah ke alam perkahwinan, bagi menjamin kehidupan yang lebih stabil pada masa hadapan.
Selain itu, faktor kewangan turut memainkan peranan besar. Kos sara hidup yang semakin meningkat, khususnya di kawasan bandar, menyebabkan ramai wanita berfikir panjang sebelum berkahwin.
Daripada sudut emosi pula, wanita kini lebih mementingkan kematangan diri dan kesediaan mental sebelum berkahwin.
Mereka tidak lagi mahu terburu-buru membuat keputusan besar tanpa memahami tanggungjawab yang bakal dipikul.
Pengalaman hidup, pembelajaran dan pendedahan terhadap pelbagai situasi menjadikan mereka lebih berhati-hati dalam memilih pasangan yang benar-benar serasi.
Pengaruh perubahan sosial dan norma masyarakat juga tidak boleh diketepikan.
Kini, wanita bujang tidak lagi dipandang serong seperti dahulu kerana mereka bebas menentukan hala tuju hidup tanpa tekanan kuat daripada keluarga atau masyarakat.
Kaunselor yang juga pensyarah Program Kaunseling Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Noratthiah Nordin berkata, ada wanita yang tidak berkahwin disebabkan masih menunggu jodoh yang sesuai dan ada juga kerana pilihan mereka sendiri untuk kekal bujang.
“Bagi golongan wanita tidak berkahwin kerana pilihan sendiri, mereka biasanya sudah nekad untuk terus membujang.
“Manakala bagi wanita yang masih menunggu jodoh sampai, mereka mungkin akan terbuka hati untuk berumah tangga apabila tiba masanya,” katanya dalam Podcast Apa-Apa Saja Harian Metro sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2026, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Noratthiah berkata, beliau tidak menafikan ada wanita yang menolak perkahwinan disebabkan faktor trauma lampau termasuk disebabkan kesan perceraian ibu bapa.
Katanya, ada hasil kajian menunjukkan, anak-anak daripada keluarga bercerai, apabila dewasa dan berkahwin, mereka berdepan kesukaran membina hubungan dengan pasangan.
“Selain itu, disebabkan pengalaman lampau, mereka juga ada kecenderungan untuk bercerai.
“Daripada perspektif keluarga pula, trauma sebenarnya juga boleh diwarisi kepada generasi seterusnya tanpa disedari,” katanya.
Dalam pada itu, menyentuh isu sama, pembaca berita yang juga Kaunselor Dalaman Media Prima Berhad, Nik Nur Shuhadah Nik Hassan berkata, ramai wanita pada hari ini yang tidak kisah untuk hidup sendiri.
Malah, katanya, golongan berkenaan juga gembira menjalani kehidupan sendirian walau tanpa lelaki di sisi.
Katanya, wanita hari ini lebih terbuka kerana perkahwinan adalah keputusan sepanjang hayat, bukan boleh dilakukan tanpa berfikir semasak-masaknya.
“Dengan cabaran hari ini, pada saya, cinta sahaja tidak mencukupi kerana kesihatan mental juga adalah perkara penting untuk pasangan yang memilih untuk hidup bersama.
“Dalam memilih pasangan yang ‘sekufu’, kita perlu melihat pelbagai aspek termasuk mentaliti dan kewangan kerana dalam Islam sendiri pun ada kriteria-kriteria tertentu yang perlu diteliti sebelum mengambil keputusan mendirikan rumah tangga.
“Apa yang pasti, wanita hari ini lebih berani dan terbuka dalam membuat keputusan untuk masa depan mereka,” katanya.
Tambah Nik Nur Shuhadah lagi, ramai wanita hari ini mengimpikan kehidupan selesa selepas berkahwin, termasuk menyediakan pendidikan terbaik kepada anak masing-masing.
Disebabkan faktor kewangan itu, katanya, wanita kini lebih berdikari untuk bekerja dan memiliki pendapatan sendiri.
“Ia bukan sahaja demi memenuhi keinginan diri, tetapi sebagai persediaan sekiranya berlaku perkara tidak diingini.
“Sediakan payung sebelum hujan. Kita bukan mendoakan perkara tidak baik tetapi sekiranya berlaku perkara di luar jangka seperti sakit contohnya, kita sudah mempunyai persediaan.
“Oleh itu, kestabilan kewangan juga penting sebelum berkahwin kerana kita hari ini berdepan banyak cabaran terutama daripada segi peningkatan kos sara hidup, pendidikan anak dan sebagainya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



