bhnews@bh.com.my
Kuala Lumpur : Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa orang Melayu silap kerana membiarkan politik Melayu terus berpecah dengan penubuhan banyak parti politik berteraskan kaum itu hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, kesilapan dilakukan mengakibatkan kini mereka hanya bersaing sesama sendiri.
“Hari ini ramai berpendapat UMNO yang kalahkan British. Jadi parti boleh beri kemenangan. Maka ditubuhlah beberapa parti. Ini memecahbelah orang Melayu. Mereka bersaing sesama mereka. Tidak mungkin ada antara mereka yang menang.
“Mereka kalah. Negara tergadai. Tanah Melayu sudah jadi tanah orang lain. Siapa silap. Yang silap ialah orang Melayu. Ini adalah perjuangan yang terakhir bagi orang Melayu,” katanya di Facebook beliau hari ini.
Beliau berkata, pada satu masa dahulu Melayu bersatu melalui satu parti iaitu UMNO.
“Yang penting (pada masa lalu) bukan UMNO tetapi perpaduan melalui UMNO,” katanya.
Selain UMNO, parti turut membawa perjuanga-n Melayu termasuk PAS, BERSATU, PKR, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) serta Parti Amanah Negara, selain parti kecil lain seperti BERJASA, Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG); Parti Ikatan Bangsa (IKATAN) serta Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA).
UMNO sebelum ini memperkenalkan Kolaborasi Agung bagi tujuan menghimpunkan seluruh parti politik Melayu dan Islam di bawah satu landasan sama, terutama dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan kaum dan agama itu.
Pada Februari lalu, parti politik berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera pertama kali duduk semeja berbincang serta mencari titik persefahaman mengenai isu kepentingan agama dan kaum.
Pertemuan sempena Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera itu berlangsung di Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) turut dihadiri PAS, PKR, AMANAH, PGRS, BERJASA, KIMMA, dan IKATAN.
© New Straits Times Press (M) Bhd




