Harga barang terkawal – KPDN

Harga barang terkawal – KPDN

am@hmetro.com.my

Bandar Baru Bangi : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) belum menerima sebarang laporan berkenaan isu kenaikan harga barangan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, setakat ini juga harga barangan masih dalam keadaan terkawal.

“Setakat ini keadaan adalah terkawal. Tidak ada laporan berkenaan kenaikan harga yang mendadak.

“Pihak KPDN sentiasa melakukan libat urus dengan pihak industri dan sekiranya ada keperluan untuk kenaikan harga, mereka perlu berunding terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Penutup Program Usahawan Muda Peringkat Kebangsaan 2026 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini.

Baru-baru ini, media melaporkan Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia menjangkakan harga makanan boleh meningkat sehingga 50 peratus susulan kenaikan kos minyak dan operasi.

Presidennya, Datuk Seri Rosli Sulaiman dilaporkan berkata, peningkatan itu disebabkan kos bahan mentah dan barangan asas dijangka meningkat berikutan kenaikan kos pengangkutan dan penghantaran yang kebanyakannya menggunakan kenderaan diesel.

Mengulas lanjut Fuziah berkata, pihaknya memahami cabaran geopolitik global dan ekonomi dunia, namun sentiasa menjalankan pemantauan.

“KPDN sedar dan sentiasa memantau harga setiap hari untuk memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top