Bekas pengurus berbasikal para APG semakin pulih

Bekas pengurus berbasikal para APG semakin pulih

sukan@hmetro.com.my

Temerloh: Selepas hampir dua bulan mengalami strok ringan, kini tahap kesihatan bekas pengurus pasukan berbasikal para negara di Sukan Para Asean (APG) di Korat, Thailand 2025, Mohd Asri Abd Mubin kini semakin memuaskan.

Selepas menerima rawatan dan pembedahan kecil bagi mengeluarkan darah beku dibahagian kepala di Hospital Kuala Lumpur (HKL), dia kini semakin cergas dan boleh berjalan menggunakan tongkat.

Anaknya, Nashrul Erzan berkata, keadaan kesihatan bapanya kini semakin memuaskan berbanding sebelum ini tidak mampu berjalan dan lebih banyak berbaring, setiap pergerakan perlu dibantu.

Katanya, sebelum ini dia lebih banyak termenung dan bersedih kerana tidak dapat menerima masalah kesihatan yang ditanggung terutama apabila tidak mampu bergerak.

“Masalah utama kini ialah apabila ayah tidak mampu bertutur dengan jelas, susah untuk bercakap dengannya. Memang sudah untuk kita faham apa yang dicakap, hanya bergantung bahasa isyarat yang ringkas.

“Setiap hari ayah begitu bersemangat belajar berjalan menggunakan tongkat, faktor berkenaan membolehkan dia kini semakin cergas dan memiliki kekuatan untuk pulih,” katanya, ditemui di kediamannya di Taman Sri Kemuning Indah, di sini hari ini.

Nashrul Erzan yang juga atlet silat negara berkata, ayahnya kini masih lagi Presiden Persatuan Basikal Negeri Pahang (PBNP), namun semua tugas dijalankan oleh seorang individu yang dilantik khas oleh pihak persatuan hingga tahun depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top