Operasi haji kekal lancar walaupun ketegangan Asia Barat – MAG

Operasi haji kekal lancar walaupun ketegangan Asia Barat – MAG

MALAYSIA Aviation Group (MAG) mengesahkan operasi penerbangan haji bagi musim 2026 berjalan mengikut jadual meskipun ketegangan geopolitik di Asia Barat yang menjejaskan perjalanan udara di beberapa kawasan di rantau itu.

Kumpulan penerbangan tersebut memaklumkan keselamatan penumpang kekal menjadi keutamaan utama dalam setiap operasi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, syarikat induk kepada Malaysia Airlines itu komited memenuhi tanggungjawab kontrak dengan Lembaga Tabung Haji, dengan penerbangan haji pertama dijadual berlepas pada 18 April seperti dirancang.

“Setakat ini, operasi berjalan seperti dijadualkan. Kami terus memantau perkembangan dengan teliti, khususnya dari aspek keselamatan dan sekuriti, dan sebarang keputusan akan dibuat berdasarkan penilaian masa nyata,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif.

Beliau menegaskan keselamatan kekal sebagai keutamaan, dengan MAG menubuhkan jawatankuasa dalaman khas yang bersidang setiap hari bagi menilai risiko operasi, terutama penerbangan ke Asia Barat.

Menurutnya, penilaian harian telah dijalankan sejak tercetusnya konflik di Asia Barat pada 28 Februari lalu, melibatkan analisis maklumat daripada pelbagai sumber bagi memastikan setiap penerbangan selamat untuk diteruskan.

Beliau turut menjelaskan bahawa sekatan ruang udara dan gangguan operasi yang berlaku di beberapa negara rantau itu menyebabkan syarikat penerbangan antarabangsa lebih berwaspada dalam merancang penerbangan.

Dalam pada itu, Malaysia Airlines telah menggantung penerbangan ke beberapa destinasi seperti Doha atas faktor keselamatan, namun keputusan tersebut dibuat secara khusus berdasarkan penilaian risiko dan bukan pengurangan operasi secara menyeluruh.

Bagi destinasi utama seperti Jeddah dan Madinah, yang penting untuk operasi haji dan umrah, MAG mengambil langkah berjaga-jaga tambahan bagi memastikan setiap penerbangan memenuhi keperluan keselamatan sebelum berlepas.

Walaupun berdepan ketidaktentuan, beliau berkata MAG akan meneruskan perjanjian jangka panjang selama lima tahun bersama Lembaga Tabung Haji bagi menguruskan pengangkutan jemaah haji dan umrah Malaysia.

Tambahnya, setakat ini tiada perubahan terhadap jadual penerbangan haji yang telah dirancang, namun situasi akan terus dipantau dari semasa ke semasa. – Bernama

Scroll to Top