LENGGONG: Warga emas serta murid sekolah paling terkesan ekoran penamatan perkhidmatan bas henti-henti yang menghubungkan bandar Kuala Kangsar, Lenggong dan Gerik.
Operasi yang wujud sejak 50 tahun itu telah berakhir pada 31 Mac lalu menerusi kenyataan oleh syarikat pengendali.
Perkembangan itu dilihat memberi impak buat mereka yang bergantung kepada pengangkutan tersebut kerana tidak mempunyai kenderaan.
Seorang pengguna, Anizah Mohamad, 62, risau dengan keadaan yang berlaku kerana dia menggunakan kemudahan tersebut setiap hari untuk berniaga di pekan Lenggong.
“Saya buntu. Bagaimana mahu pergi berniaga? Malah, ketika masih bersekolah pun, saya bergantung dengan bas ini untuk bergerak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Difahamkan, sejak sekian lama perkhidmatan oleh pelbagai syarikat pengendali itu menjadi harapan penduduk di kampung-kampung terpencil di laluan antara Kuala Kangsar dan Gerik sepanjang lebih 90 kilometer.
Siti Zawyah Syed Wok, 65, meluahkan kerisauan terhadap nasibnya yang selama ini sering menggunakan bas untuk ke mana-mana.
“Saya kena ke pekan untuk membeli barang basah. Jika tidak, saya tiada makanan,” katanya.
Dia menjangka kesukaran untuk menggunakan bantuan tunai daripada kerajaan Pusat dan negeri seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), berikutan kedai terpilih bagi membelanjakan sumbangan berkenaan hanya berada di pekan utama.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Lenggong, Abdul Harani Harun percaya kemerosotan bilangan penumpang mungkin menjadi faktor utama perkhidmatan itu tidak diteruskan.
Namun pihaknya akan membawa perkara ini kepada pihak berwajib supaya nasib malang penduduk dapat dibela. – UTUSAN




