Konflik Asia Barat: Kerajaan siap siaga! Tangani beban kos sara hidup rakyat – Zahid Hamidi

Konflik Asia Barat: Kerajaan siap siaga! Tangani beban kos sara hidup rakyat – Zahid Hamidi

Kerajaan menegaskan kesiapsiagaan dalam menangani impak konflik di Asia Barat terhadap harga barangan dan kos sara hidup rakyat, dengan mengekalkan pendekatan menyeluruh yang memfokuskan dua perkara utama: mengurangkan beban perbelanjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barang secara tidak munasabah.

“Segala dasar dan langkah yang dilaksanakan adalah demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, khususnya dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa,” tegas beliau ketika Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Sara Hidup Negara (NACCOL) ke-17.

Mesyuarat itu menekankan bahawa pertemuan NACCOL akan bersidang secara berkala sepanjang tempoh krisis tenaga bagi memastikan isu yang memberi kesan kepada rakyat dapat ditangani dengan pantas dan berkesan.

Sebagai langkah sokongan langsung, kerajaan memperuntukkan RM54.7 bilion untuk tahun 2026 bagi bantuan sosial, subsidi, dan insentif peningkatan pendapatan.

Inisiatif utama termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Program Jualan Rahmah serta subsidi bahan api dan sektor pertanian.

Artikel lain: TPM Zahid minta jangan salahkan kerajaan, tegaskan ini krisis global

Setakat ini, lebih 13.7 juta rakyat menerima manfaat daripada 60 program bantuan sosial di seluruh negara, dengan lebih separuh isi rumah menerima sekurang-kurangnya dua bentuk bantuan.

Selain itu, kerajaan turut menekankan usaha memperkukuh sistem pengangkutan awam, memperluas peluang ekonomi dan pekerjaan.

Bukan itu sahaja, malah memastikan maklumat disampaikan secara jelas, telus dan mudah difahami bagi membantu rakyat membuat keputusan yang terbaik dalam kehidupan seharian.

Scroll to Top