Toyota mencatat permulaan yang memberangsangkan bagi model elektrik terbaharunya di China apabila sedan elektrik mewah bZ7 berjaya menerima lebih 3,100 tempahan dalam tempoh hanya satu jam selepas pelancarannya. Model tersebut dilancarkan pada harga permulaan sekitar 147,800 yuan (kira-kira RM 98,000), menjadikannya antara EV paling kompetitif dalam segmen sedan mewah di pasaran China.
Toyota bZ7 merupakan model flagship elektrik baharu Toyota di China yang dibangunkan melalui kerjasama dengan GAC-Toyota. Ia ditawarkan dalam lima varian dengan harga mencecah sehingga 199,800 yuan, bergantung kepada spesifikasi dan konfigurasi.
Sambutan awal yang kukuh ini mencerminkan permintaan tinggi terhadap kenderaan elektrik mampu milik yang dilengkapi teknologi canggih dalam pasaran tersebut. bZ7 menampilkan tahap kecanggihan yang lebih tinggi berbanding model Toyota lain di peringkat global.

Toyota bekerjasama dengan beberapa syarikat teknologi terkemuka China seperti Huawei, Xiaomi dan Momenta bagi meningkatkan keupayaan perisian, sistem pintar dan komponen kenderaan, sekali gus membolehkan model ini bersaing secara lebih agresif dengan jenama tempatan seperti BYD.
Antara ciri utama termasuk sistem operasi pintar HarmonyOS 5.0 daripada Huawei serta ekosistem “Human x Car x Home” yang dibangunkan oleh Xiaomi, membolehkan pengguna mengawal pelbagai peranti pintar terus melalui sistem infotainmen kenderaan.
Selain itu, bZ7 turut dilengkapi sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Momenta R6 yang menggunakan sensor LiDAR dan menyokong pelbagai fungsi keselamatan serta pemanduan separa autonomi.

Dari aspek dalaman, model ini menawarkan ciri premium seperti tempat duduk “zero-gravity” dengan fungsi pemanas, penyejuk dan urutan, selain dilengkapi peti sejuk terbina dalam. Ia turut menampilkan skrin infotainmen tengah bersaiz 15.6 inci, paparan kluster digital 8.8 inci serta paparan head-up bersaiz besar 27 inci.
bZ7 hadir dengan dua pilihan bateri jenis lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 71 kWh dan 88 kWh, yang masing-masing menawarkan jarak pemanduan sehingga 600 km dan 700 km mengikut standard CLTC. Sistem pengecasan pantas 3C membolehkan kenderaan ini menambah jarak sekitar 300 km dalam masa hanya 10 minit.
Dengan dimensi sepanjang 5,130 mm dan jarak roda 3,020 mm, bZ7 berada dalam kategori sedan besar, setanding dengan model seperti Tesla Model S dari segi saiz. Toyota turut menawarkan jaminan bateri yang merangkumi penggantian percuma sekiranya degradasi melebihi 10 peratus dalam tempoh dua tahun atau 50,000 km pertama.




