am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Naib juara Pertandingan Debat Bahasa Arab Dunia, Muhammad Adam Syafiq Sulaiman meraih keputusan 10A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan kelmarin.
Rakannya, Umair Lokmanul Hakim pula mencatat keputusan 9A+.
Muhammad Adam Syafiq dan Umair membantu negara muncul naib juara dalam Pertandingan Debat Bahasa Arab Dunia di Qatar awal tahun ini membuktikan bahawa kecemerlangan dalam kokurikulum mampu menjadi pemangkin kepada kejayaan akademik.
Pelajar Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), Kuala Terengganu itu mengharumkan nama negeri dan negara bersama seorang lagi pendebat dari sekolah sama, Ahmad Nafiz Mohd Nazron yang memperoleh 9A+ dan 1A.
Muhammad Adam Syafiq berkata, dia bersyukur atas kejayaan yang dikecapi namun ia tidak datang dengan sendiri sebaliknya hasil sokongan dan dorongan pelbagai pihak terutama keluarga, guru dan rakan.
“Fokus dalam kelas semasa guru mengajar dan mengulang kaji pelajaran mengikut setiap bab yang dipelajari dan hormati semua adalah usaha yang saya lakukan, harap ia menjadi dorongan kepada pelajar lain,” katanya.
Bagi Umair, dia mengamalkan rehat yang cukup, ulang kaji serta menyiapkan latihan pada awal pagi menjadi rutin sebelum menduduki peperiksaan.
“Selain itu saya akan pastikan tidur yang mencukupi supaya boleh fokus dalam pelajaran dan tidak penat di kemudian hari, bantu rakan yang kurang mahir dalam subjek atau topik tertentu serta menjaga hubungan dengan Allah dan manusia,” katanya.
Kejayaan mereka seiring dengan pencapaian cemerlang sekolah apabila SMAASZA muncul sebagai sekolah agama terbaik di Terengganu dan sekolah ketiga terbaik keseluruhan SPM peringkat negeri dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.91.
Sementara itu, Pengetua SMAASZA, Muhad Bidin berkata, pembabitan aktif pelajar dalam kokurikulum seperti debat bukan sahaja membina keyakinan dan kemahiran berfikir secara kritis, malah mampu merangsang kecemerlangan akademik secara menyeluruh.
“Kejayaan mereka bertiga membuktikan bahawa pelajar yang aktif dalam kegiatan kokurikulum mampu mencapai keseimbangan antara pencapaian akademik dan kecemerlangan di pentas antarabangsa, sekali gus menjadi inspirasi kepada pelajar lain,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




