kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Permintaan terhadap pembangunan perindustrian MVV TechValley terus menunjukkan momentum positif apabila fasa terbaharu kilang berkembar (semi-D) di kawasan itu hampir mencapai tahap pengambilan penuh.
Perkembangan itu didedahkan oleh Matrix Concepts Holdings Berhad sempena forum ekonomi anjuran bersama UOB Malaysia yang menghimpunkan pemain industri, pelabur serta pihak berkepentingan perniagaan.
Forum berkenaan turut mengetengahkan peranan Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) sebagai antara koridor pertumbuhan ekonomi utama negara dengan MVV TechValley tampil sebagai pemacu utama sektor perindustrian dalam pembangunan MVV City.
Pengarah Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts, Kelvin Lee Chin Chuan berkata, lebih 85 peratus unit bagi fasa terbaharu kilang semi-D di MVV TechValley Biz Park sudah ditempah sejak peringkat prapelancaran.
Katanya, fasa berkenaan membabitkan 40 unit dengan harga antara RM3.4 juta hingga RM4.4 juta, menarik penyertaan pelbagai syarikat termasuk sektor pembuatan, logistik dan teknologi yang mencari lokasi industri strategik.
“Permintaan tinggi ini mencerminkan keyakinan pasaran terhadap pembangunan industri yang dirancang rapi dalam MVV.
“Perniagaan kini tidak lagi hanya melihat zon industri tradisional, sebaliknya memberi keutamaan kepada aspek keterhubungan, sokongan ekosistem dan potensi pertumbuhan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, tarikan utama MVV TechValley adalah kedudukan strategiknya dengan akses terus ke Lebuhraya Nilai-Labu-Enstek serta bakal dihubungkan ke Lebuhraya Utara-Selatan, selain berhampiran pintu masuk logistik utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Pelabuhan Klang.
Katanya, kelebihan itu menjadikan kawasan berkenaan sesuai bagi syarikat yang terlibat dalam aktiviti pembuatan, pengedaran dan eksport.
MVV TechValley adalah pembangunan industri kedua Matrix Concepts selepas kejayaan Sendayan TechValley yang mencatatkan pengambilan penuh bagi semua fasa sebelum ini.
Pembangunan itu turut disokong ekosistem menyeluruh merangkumi kawasan perumahan, pusat komersial serta infrastruktur sokongan berhampiran, sekali gus memperkukuh daya tarikannya sebagai hab industri baharu di Negeri Sembilan.
Selain komponen industri, MVV TechValley adalah sebahagian daripada pelan pembangunan lebih besar MVV City yang dirancang sebagai bandar bersepadu masa depan, menggabungkan elemen industri, perniagaan dan komuniti dalam satu ekosistem lengkap.
Mengulas lanjut, Kelvin berkata pihaknya merancang memperkenalkan beberapa fasa baharu pembangunan kilang bagi memenuhi permintaan berterusan dalam koridor MVV.
“Fasa awal yang hampir habis diambil sebelum pelancaran rasmi membuktikan permintaan mendalam terhadap ruang industri berkualiti.
“Fasa seterusnya akan merangkumi kilang semi-D dan kluster bagi memenuhi keperluan perniagaan yang semakin berkembang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




