am@hmetro.com.my
Sungai Golok: Rakyat Malaysia yang membeli bahan api di selatan Thailand kebelakangan ini kebanyakannya adalah pelancong yang mengisi minyak ketika berada di kawasan berkenaan, bukannya semata-mata menyeberangi sempadan untuk mendapatkan harga lebih murah.
Presiden Persatuan Perdagangan dan Pelancongan Halal Thailand-Asean, Aida Qujeh berkata, mereka terdiri daripada pengguna van dan kenderaan persendirian yang kebetulan berada di bandar sempadan itu.
“Mereka mengisi minyak ketika berada di sini, bukan kerana harga di Thailand jauh lebih murah, tetapi kerana mereka sudah berada di kawasan ini,” katanya.
Aida berkata, situasi itu juga sama bagi pemandu Thailand yang memasuki Malaysia.
“Jika pelancong Thailand masuk ke Malaysia, mereka juga akan mengisi minyak di sana jika perlu. Ia adalah amalan biasa, bukan semata-mata mengejar harga lebih rendah,” katanya.
Beliau menambah, pihak berkuasa Thailand tidak mengenakan sebarang had pembelian petrol atau diesel sama ada kepada rakyat Malaysia atau penduduk tempatan.
Beliau turut berkata, operasi stesen minyak di selatan Thailand telah kembali pulih seperti biasa, selepas beberapa premis sebelum ini mengurangkan operasi atau ditutup sementara ketika krisis di Timur Tengah.
“Kini, semua stesen beroperasi seperti biasa,” katanya.
Sementara itu, tinjauan di sebuah stesen Caltex di Jalan Pasar Vivat di sini hari ini mendapati tiada kenderaan Malaysia dilihat mengisi minyak.
Seorang ahli perniagaan Malaysia, Wan Azizul Wan Hussin, 32, mengakui beliau pernah membeli diesel di Thailand awal bulan ini.
“Saya membeli diesel ketika ke Narathiwat minggu lalu. Perbezaan harga ketika itu berbaloi.
“Kini, saya tidak lagi mengisi minyak di sini kerana jurang harga sudah tidak ketara,” katanya.
Pengurus stesen Caltex Sungai Golok, Mohd Farid Dollah, 48, berkata, kemasukan kenderaan Malaysia dua minggu lalu adalah luar biasa sepanjang lebih 10 tahun pengalamannya.
“Kami merekodkan hampir 50 kenderaan Malaysia datang membeli diesel dua minggu lalu.
“Namun sejak semalam, jumlah itu merosot mendadak — kini hanya satu atau dua kenderaan sahaja,” katanya.
Beliau menambah, walaupun rakyat Malaysia masih berkunjung, trend tersebut jelas semakin perlahan dan jumlahnya menurun dengan ketara berbanding minggu sebelumnya.
Harga bahan api yang dipaparkan di stesen berkenaan menunjukkan petrol sekitar 44.22 baht (RM5.74) seliter dan diesel 48 baht (RM5.93), menjadikan jurang harga dengan Malaysia kini kecil.
Seorang pegawai kerajaan Narathiwat yang enggan dikenali mengesahkan bahawa kawalan pembelian bahan api yang diperkenalkan sebelum ini susulan krisis di Timur Tengah telah ditarik balik.
“Sebelum ini, pengusaha stesen minyak di Thailand mengehadkan jualan diesel dan petrol kepada penduduk tempatan dan warga asing susulan krisis yang sedang berlaku di Timur Tengah.
“Kini, keadaan telah kembali seperti biasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




