Bapa rayu bantuan rawatan cecah RM15,000, anak parah rempuh pokok tumbang ketika ribut

Bapa rayu bantuan rawatan cecah RM15,000, anak parah rempuh pokok tumbang ketika ribut

am@hmetro.com.my

Taiping: Seorang lelaki memerlukan antara RM10,000 hingga RM15,000 untuk menampung kos rawatan kecederaan pada kepala dan leher selepas terbabit kemalangan petang kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang apabila Muhammad Azmin Ahmad Fauzi, 22, yang menunggang motosikal sendirian tidak sempat mengelak lalu merempuh sebatang pokok yang tumbang dan merintangi jalan akibat ribut di bagan Serai, dekat sini.

Bapanya, Ahmad Fauzi Saarani, 56, merayu orang ramai untuk membantu memandangkan pihak doktor pakar memaklumkan pembedahan segera perlu dibuat termasuk pemasangan plat besi untuk menyokong leher anak ketiganya daripada lima beradik itu.

Ketika kejadian, katanya Azmin dalam perjalanan ke rumah rakannya selepas selesai membaiki motosikal pelanggan.

“Masa kejadian hujan lebat dan angin kencang melanda sebelum sebatang pokok tiba-tiba tumbang lalu jatuh merintangi jalan.

“Anak saya lalu kawasan itu tidak sempat mengelak dan merempuh pokok berkenaan.

“Akibatnya, dia mengalami kecederaan parah pada kepala termasuk keretakan pada dua bahagian leher, selain masalah saluran darah,” katanya ketika ditemui di Hospital Taiping hari ini.

Ahmad Fauzi berkata, kos rawatan dianggarkan antara RM10,000 hingga RM15,000, namun berdasarkan laporan terkini pihak hospital, jumlah diperlukan sekitar RM8,100.

“Kalau lambat, bimbang akan berlaku bengkak dan komplikasi lain.

“Saya cuma kerja kampung dan anak yang kemalangan ini turut berkerja membantu saya.

“Mana kami nak cari duit, sekarang ni pun kami berdepan masalah kewangan untuk menampung kos rawatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top