DALAM kehidupan seharian, kita sering menggunakan perkataan “syukur” dan “gratitude” secara bergantian, tetapi kedua-duanya mempunyai makna yang berbeza apabila difahami secara mendalam.
Gratitude merujuk kepada perasaan berterima kasih serta keinginan untuk menunjukkan penghargaan atas kebaikan yang diterima.
Sebaliknya, syukur, khususnya dalam konteks seorang Muslim, merangkumi dimensi yang lebih mendalam iaitu pengiktirafan akan kebesaran ALLAH dan rasa rendah diri sebagai hamba-NYA.
Gratitude adalah respons spontan apabila kita menerima sesuatu yang baik. Sebagai contoh, apabila seseorang memberi hadiah atau sokongan, kita merasa gratitude iaitu berterima kasih. Ini adalah reaksi alami terhadap tindakan baik.
Syukur melibatkan pengiktirafan yang lebih besar, di mana seorang Muslim tidak hanya berterima kasih kepada manusia, tetapi juga bersyukur kepada ALLAH sebagai sumber segala kebaikan.
Sebagai contoh, seorang pelajar mungkin berterima kasih kepada gurunya kerana membantu memahami konsep yang sukar. Namun, sebagai seorang Muslim, dia juga harus menyedari bahawa tanpa izin ALLAH, pembelajaran tersebut mungkin tidak berlaku.
Oleh itu, selain berterima kasih kepada guru, dia juga bersyukur kepada ALLAH kerana memberi kemampuan untuk memahami ilmu tersebut.
Dalam Islam, syukur dianggap sebagai satu bentuk ibadah yang penting kerana ia mengingatkan manusia bahawa segala nikmat datang daripada ALLAH dan betapa pentingnya untuk mengakui kelemahan diri.
Gratitude tanpa kaitan ketuhanan
Dalam masyarakat moden, gratitude sering dibincangkan dalam konteks kesejahteraan mental dan emosi. Konsep ini dikatakan dapat meningkatkan kebahagiaan seseorang.
Seseorang boleh merasa gratitude terhadap keadaan atau orang lain tanpa mempercayai adanya unsur ketuhanan disebalik kebaikan tersebut.
Sebagai contoh, seseorang boleh berasa gratitude atas cuaca yang baik, kesihatan yang baik atau rezeki yang murah tanpa perlu merujuk kepada Tuhan.
Sebaliknya, syukur dalam Islam bersifat teistik; ia adalah pengiktirafan langsung terhadap kuasa dan kasih sayang ALLAH. Bagi seorang Muslim, setiap kebaikan yang berlaku adalah sebahagian daripada perancangan dan kehendak ALLAH.
Oleh itu, syukur bukan sekadar ungkapan terima kasih tetapi hubungan mendalam antara hamba dan Penciptanya.
Kepalsuan, ketulusan gratitude berbanding syukur
Gratitude dalam beberapa situasi boleh bersifat sementara atau bahkan dibuat-buat. Adakalanya, seseorang mungkin merasa terpaksa menunjukkan gratitude walaupun hatinya tidak ikhlas.
Sebagai contoh, dalam situasi sosial, seseorang mungkin mengucapkan terima kasih untuk menjaga hati orang lain, walaupun tidak berasa benar-benar bersyukur.
Sebaliknya, syukur dalam Islam bersifat ikhlas dan mendalam. Ia bukan sekadar ucapan terima kasih, tetapi juga perasaan tulen yang terpahat di hati.
Syukur membentuk karakter seseorang dan memberi kesan terhadap setiap aspek kehidupannya. Sebagai contoh, seorang ibu yang melihat anaknya berjaya dalam pelajaran mungkin merasa gratitude kepada anaknya atas usaha kerasnya, tetapi dia juga bersyukur kepada ALLAH kerana memberikan kesihatan, ilmu dan peluang untuk anaknya mencapai kejayaan itu.
Gratitude mungkin terhad kepada hubungan antara ibu dan anak, tetapi syukur menghubungkan perasaan itu kepada ALLAH, yang merupakan sumber segala kebaikan.
Kepuasan
Gratitude boleh menghasilkan rasa puas yang bersifat sementara. Apabila seseorang menerima kebaikan, dia merasa puas hati buat seketika.
Namun, syukur melahirkan kepuasan yang lebih mendalam kerana ia disertai dengan pengiktirafan bahawa ALLAH sentiasa mengetahui apa yang terbaik untuk kita.
Seseorang yang bersyukur bukan sahaja berasa puas dengan apa yang dimiliki, tetapi juga berasa rendah diri di hadapan ALLAH kerana menyedari bahawa segala nikmat datang daripada-NYA.
Gratitude dalam perbuatan, syukur dalam amal
Gratitude sering kali diluahkan melalui kata-kata atau perasaan. Ia boleh diekspresikan melalui senyuman, ucapan terima kasih atau gestur kecil.
Namun, syukur dalam Islam bukan hanya terhad kepada lisan. Syukur memerlukan tindakan nyata iaitu memuji ALLAH dengan lisan, memasakkan rasa itu di dalam hati dan membuktikannya melalui amal perbuatan.
Sebagai contoh, seorang yang bersyukur atas nikmat kesihatan akan menjaga kesihatannya dengan baik.
Kesimpulannya, syukur bukan sahaja melengkapkan perasaan tetapi juga menjadi rawatan untuk penyakit hati. Apabila seseorang sering bersyukur, hatinya dijauhkan daripada sifat-sifat negatif seperti iri hati, tamak dan keluh kesah.
Seorang yang selalu bersyukur atas apa yang dimilikinya tidak akan merasa cemburu dengan apa yang dimiliki orang lain, malah akan merasa tenang dan puas.
Secara keseluruhannya, walaupun gratitude dan syukur kelihatan serupa, syukur dalam Islam mempunyai dimensi yang lebih mendalam.
***DR HASHIM AHMAD SHIYUTI merupakan Pensyarah Pusat Tamhidi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)



