UEM Group dalam proses ambil alih penuh UEM Edgenta

UEM Group dalam proses ambil alih penuh UEM Edgenta
UEM Group dalam proses ambil alih penuh UEM Edgenta

Pemegang saham UEM Edgenta Berhad meluluskan cadangan pengurangan modal terpilih dan pembayaran balik (SCR) yang membuka laluan kepada UEM Group Berhad untuk meningkatkan pegangan kepada 100 peratus.

PEMEGANG saham UEM Edgenta Berhad meluluskan cadangan pengurangan modal terpilih dan pembayaran balik (SCR) yang membuka laluan kepada UEM Group Berhad untuk meningkatkan pegangan kepada 100 peratus.

UEM Group Berhad dalam satu kenyataan berkata, kelulusan berkenaan menghampirkan UEM Edgenta ke arah penswastaan penuh selepas cadangan tersebut mendapat sokongan majoriti pemegang saham tidak berkepentingan.

“Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) hari ini menyaksikan 97.09 peratus saham tidak berkepentingan yang diambil kira mengundi menyokong cadangan itu. Undi menentang pula hanya 1.33 peratus iaitu di bawah ambang 10 peratus yang ditetapkan.

“Susulan kelulusan itu, UEM Group akan meningkatkan pegangan sedia ada daripada 69.14 peratus kepada 100 peratus sekali gus menjadikan syarikat tersebut sebagai anak syarikat milik penuhnya,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, bagi mengambil alih baki 30.86 peratus kepentingan atau 257 juta saham, UEM Group akan membayar RM1.10 bagi setiap saham biasa UEM Edgenta dengan jumlah bayaran keseluruhan tunai bernilai RM282 juta.

“Cadangan SCR ini akan berkuatkuasa setelah perintah daripada Mahkamah Tinggi Malaya dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia difailkan. Penyahsenaraian UEM Edgenta daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia dijangka akan dimuktamadkan pada awal Julai 2026.

“Setelah menjadi pemegang saham tunggal nanti, UEM Group akan bekerjasama dengan UEM Edgenta bagi menetapkan hala tuju strategik, melakukan inisiatif dan menguruskan perniagaan mereka yang pelbagai secara lebih berkesan,” katanya.

Tambahnya, langkah itu bertujuan memacu pertumbuhan serta mengukuhkan prospek jangka panjang syarikat di samping menangani prestasi kewangan kurang memberangsangkan dan persekitaran pasaran yang mencabar.

 

 

Scroll to Top