PETALING JAYA: Selangor FC perlu memanfaatkan semua peluang terhidang ketika berdepan Kuching City FC dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), esok.
Pengurusnya, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, jentera serangan pasukan juga perlu lebih tajam bagi memastikan Gergasi Merah meraih bekalan selesa menjelang aksi timbal balik di gelanggang lawan.
“Kita sedar cabaran yang bakal dihadirkan Kuching City. Justeru, kita perlu mendapatkan keputusan positif pada perlawanan pertama ini sebagai bekalan penting sebelum aksi timbal balik separuh akhir pada 18 April nanti.
“Sudah tentu kelebihan pada pasukan Selangor selaku tuan rumah, tetapi tidak menjamin kemenangan jika pasukan tidak berwaspada dengan taktikal lawan dan gagal memanfaatkan peluang terhidang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Mahfizul, saingan Piala Malaysia sememangnya terkenal dengan intensiti tinggi serta keputusan luar jangka, sekali gus menuntut setiap pasukan tampil dengan persiapan rapi.
“Pertandingan ini sentiasa menjanjikan persaingan sengit. Kita tidak boleh ambil mudah kerana apa sahaja boleh berlaku,” katanya.
Mengulas lanjut, Mahfizul berkata, SFC meletakkan sasaran jelas untuk melangkah ke pentas final yang dijadual berlangsung pada Mei depan.
Namun, beliau mengingatkan bahawa halangan daripada skuad kendalian Aidil Sharin Sahak bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan, terutama dengan disiplin bertahan yang sering menjadi kekuatan pasukan itu.
Tambah beliau, barisan kejurulatihan Selangor telah merangka strategi serta pendekatan taktikal khusus bagi memecahkan benteng pertahanan lawan dalam aksi yang dijadual berlangsung Ahad ini.
Dalam masa sama, beliau menegaskan para pemain berada pada tahap motivasi tinggi untuk menghadapi perlawanan penting tersebut.
“Mereka mahu membalas kepercayaan dan sokongan padu penyokong setia Selangor. Itu menjadi pembakar semangat utama pasukan,” katanya.-UTUSAN




