
Dua kapal Pertamina Indonesia masih terkandas di Selat Hormuz. Foto: Agensi
JAKARTA – Iran dilaporkan mula membenarkan beberapa kapal asing melalui Selat Hormuz secara selamat, namun dua kapal Indonesia masih belum menerima kebenaran untuk melintasi laluan strategik itu setakat Jumaat, lapor Kompas.com.
Sementara itu, kapal dari Malaysia dan Filipina telah diberikan laluan tanpa dikenakan sebarang bayaran tambahan walaupun konflik di Asia Barat masih berterusan.
Jurucakap Kementerian Tenaga dan Sumber Daya Mineral (ESDM) Indonesia, Dwi Anggia berkata, pihaknya masih berkoordinasi dengan Kementerian Luar Negeri Indonesia serta pihak berkepentingan lain bagi memastikan keselamatan pelayaran kapal negara itu.
Pensyarah Hubungan Antarabangsa Universitas Gadjah Mada, Muhadi Sugiono menjelaskan tindakan Iran membuka semula laluan itu hanya melibatkan negara yang mempunyai hubungan diplomatik baik.
Menurutnya, Iran sebelum ini menutup Selat Hormuz sejak 28 Februari lalu susulan konflik dengan Amerika Syarikat dan Israel.
“Penutupan itu pada asasnya melibatkan negara yang dianggap musuh seperti AS dan Israel, serta sekutu yang terlibat dalam serangan ke atas Iran,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Indonesia tidak termasuk dalam kategori tersebut dan masih dianggap sebagai negara sahabat oleh Iran.
Muhadi berpandangan kelewatan kapal Indonesia berkemungkinan berpunca daripada prosedur keselamatan ketat yang dilaksanakan di kawasan konflik.
“Ini situasi perang, jadi tidak mustahil protokol keselamatan menyebabkan pergerakan kapal Indonesia menjadi lebih perlahan,” jelasnya.
Beliau turut menyarankan agar Indonesia mempergiatkan usaha diplomasi seperti yang dilakukan Malaysia dan Filipina bagi mempercepatkan kelulusan laluan.
Dalam perkembangan berkaitan, Duta Besar Iran ke Indonesia, Mohammad Boroujerdi dilaporkan mengadakan pertemuan dengan beberapa tokoh utama negara termasuk Jusuf Kalla, Megawati Soekarnoputri dan Joko Widodo.
Pertemuan tersebut antara lain membincangkan situasi semasa Iran serta dakwaan berkaitan konflik dengan Israel dan Amerika Syarikat.
Pemerhati melihat langkah itu sebagai usaha Teheran untuk memahami pendirian Indonesia dalam isu konflik serantau yang semakin tegang. – Agensi


