MENTERI Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat membentuk barisan kepimpinan baharu yang mampu membawa perubahan positif kepada landskap bola sepak negara.
Beliau berkata, pelantikan kepimpinan baharu FAM dilihat dapat membuka ruang untuk memperbaiki kelemahan sedia ada, sekali gus memastikan usaha mengangkat semula martabat bola sepak tanah air dapat direalisasikan.
“Nanti FAM akan melantik Exco (Ahli Jawatankuasa Eksekutif) yang baharu dan saya harap itu akan membuka ruang untuk kita bersama-sama memperbaiki apa sahaja kelemahan yang ada.
“Saya tidak pernah putus asa terhadap pembangunan bola sepak negara dan berharap kegemilangan era terdahulu dapat dikembalikan semula,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama yang diketuai Ketua Pengarang, Arul Rajoo Durar Raj di pejabat menteri di sini.
FAM dilaporkan bakal mengadakan kongres pemilihan antara Ogos dan September depan bagi membentuk kepimpinan baharu selepas peletakan jawatan beramai-ramai Exco badan induk itu bagi penggal 2025-2029 secara kolektif dan sukarela dengan serta-merta, Januari lepas.
Sementara itu, Mohammed Taufiq tetap yakin masa depan sukan bola sepak negara masih cerah walaupun imejnya sedikit tercalar di peringkat antarabangsa susulan beberapa isu semasa.
Beliau berkata, persepsi umum tidak dapat dikawal sepenuhnya, namun apa yang lebih penting adalah langkah proaktif untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak negara menerusi pembaharuan menyeluruh khususnya dari aspek tadbir urus.
“Apa yang lebih penting adalah bagaimana kita mahu bergerak ke hadapan untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak negara. Sudah pasti tatakelola yang baik amat penting, disokong pula dengan sistem yang kukuh serta dorongan melalui program-program sedia ada,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kepercayaan rakyat terhadap pembangunan bola sepak negara perlu dikembalikan terutamanya di peringkat akar umbi bermula dengan program seperti Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
Bulan lepas, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membenarkan sebahagian rayuan tujuh pemain yang dikenakan tindakan disiplin oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung kesalahan pemalsuan dokumen, dengan penggantungan 12 bulan hanya dikenakan terhadap perlawanan rasmi dan bukan semua aktiviti berkaitan bola sepak.
Pada masa sama, CAS menolak rayuan FAM untuk mengurangkan hukuman sekali gus mengekalkan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) yang dikenakan oleh FIFA.
Tujuh pemain terbabit ialah Hector Hevel, Imanol Machuca, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Gabriel Palmero.
Jawatankuasa Tatatertib dan Etika Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pula mendapati FAM melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib dan Etika AFC kerana menurunkan pemain yang tidak layak dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal dan Vietnam, tahun lepas.
Justeru, pasukan bola sepak negara dikenakan pemotongan mata oleh AFC sekali gus memusnahkan harapan untuk Malaysia beraksi pada Pusingan Akhir Piala Asia berdasarkan merit buat kali kedua berturut-turut pada saat akhir.
Skuad Harimau Malaya bimbingan Peter Cklamovski menamatkan saingan Kumpulan F pusingan kelayakan Piala Asia 2027 di tempat kedua dengan sembilan mata, sementara Vietnam mengesahkan tempat ke pusingan akhir selaku juara dengan 18 mata. Laos ketiga (enam mata) dan Nepal tercorot dengan tiga mata. – Bernama



