Kuala Lumpur: Lawatan akademi membabitkan 20 institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) ke Lenggong UNESCO Global Geopark dilihat sebagai langkah awal menzahirkan hasrat menjadikan kawasan itu sebagai Pusat Pendidikan Terbuka (PPT).
Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata konsep PPT yang diperkenalkan adalah sistem pembelajaran berasaskan landskap dan masyarakat dengan menjadikan kawasan geopark sebagai pembelajaran langsung tanpa kebergantungan kepada bangunan tertutup sebagai unsur utama.
Dalam konteks itu, beliau berkata PPT berperanan sebagai pentas pendidikan tidak formal dan separa formal yang menyepadukan pendidikan, penyelidikan serta pemindahan ilmu selaras dengan prinsip pembangunan lestari dan pemeliharaan warisan.
“Justeru, Lenggong memulakan usaha menjadikan Lenggong PPT melalui usahasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan Badan Pengurusan Lenggong Geopark.
“Saya harap melalui lawatan akademi ke Lenggong UNESCO Global Geopark dan Lenggong Tapak Warisan Dunia UNESCO oleh pelbagai IPTA serta IPTS akan membuka pelbagai lagi kerjasama.
“Ini akan membolehkan pelbagai disiplin pendidikan, budaya, warisan dan arkeologi dapat diwujudkan,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya semalam.
Shamsul Anuar berkata, usaha menjadikan Lenggong sebagai PPT turut dimulakan melalui kerjasama strategik antara UTM dengan Badan Pengurusan Lenggong Geopark menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU).
“UTM akan menjadi universiti pertama membuka pusat kajian di kawasan ini dan lokasi bagi tujuan itu sudah dimuktamadkan,” katanya.
Program lawatan akademi yang berlangsung pada 1 hingga 2 April itu dianjurkan sempena program Lenggong Dialog 2026, dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Majlis Pelancongan Lenggong, Badan Pengurusan Lenggong Geopark, Majlis Daerah Lenggong serta Pejabat Daerah Lenggong.
Lawatan akademik itu turut menyaksikan penyertaan meluas daripada pelbagai institusi pendidikan tinggi termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Turut mengambil bahagian adalah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) serta Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Institusi lain yang terbabit termasuk Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Universiti Islam Selangor (UIS), Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Sunway University, Taylor’s University serta Quest International University.
Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebagai agensi berkaitan pendidikan dan pembangunan modal insan turut menyertai program sama.
Sepanjang program, peserta dibawa melawat beberapa tapak penting di kawasan geopark termasuk Gua Runtuh, Galeri Geopark Lenggong, Galeri Arkeologi Lembah Lenggong serta menyusuri denai geo di sekitar Tasik Raban dan Kampung Beng.
Lawatan diakhiri dengan taklimat berkaitan geopark sebelum majlis penutup yang disempurnakan oleh Shamsul Anuar selaku Pengerusi Majlis Pelancongan Lenggong.
Dengan pembabitan meluas IPTA dan IPTS ini, beliau berharap ia akan membuka lebih banyak peluang kerjasama merentas bidang termasuk pendidikan, budaya, warisan dan arkeologi, sekali gus memperkukuh usaha menjadikan Lenggong sebagai hab pendidikan terbuka negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




