am@hmetro.com.my
Shah Alam: Polis mengesahkan kejadian seorang lelaki warga emas yang ditemukan lemas selepas hilang dua hari lalu di Kampung Kuantan, di sini sebagai mati mengejut (SDR).
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, polis sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian dan tiada unsur jenayah.
Azaharudin berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga emas berusia 65 tahun jam 9.30 malam kelmarin.
“Pengadu memaklumkan jam 6.20 hari yang sama, dia bersama seorang rakan meninggalkan mangsa berusia 63 tahun semasa berada di jeti.
“Mangsa meminta pengadu untuk membeli minuman,” katanya ketika dihubungi, malam ini.
Azaharudin berkata, tujuan mereka berada di jeti terbabit adalah untuk memancing.
Katanya, ketika pengadu tiba semula dia mendapati mangsa sudah tiada dan dipercayai terjatuh ke dalam sungai.
“Ekoran laporan yang dibuat, usaha mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Mayat mangsa dijumpai terapung jam 9 pagi tadi di kawasan kunci air Batu 7 1/2, Kampung Asahan,” katanya.
Azaharudin berkata, mayat kemudian dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk proses bedah siasat.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki warga emas yang dilaporkan terjatuh bersama kerusi rodanya ke dalam sungai berhampiran Kampung Kuantan, Kuala Selangor kelmarin ditemukan lemas hari ini.
Mangsa dikenali sebagai P Ravi, 63.
© New Straits Times Press (M) Bhd




