Kelab Peminat cadang P Ramlee dianugerahkan Tun

Kelab Peminat cadang P Ramlee dianugerahkan Tun

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Bangi: Pengerusi Kelab Peminat Allahyarham Tan Sri P Ramlee cawangan Lembah Klang, Prof Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh, 78, meluahkan hasrat bersama ahli jawatankuasa (AJK) kelab itu untuk mengemukakan usul gelaran Tun buat Seniman Agung berkenaan.

Ujar Wan Hashim, P Ramlee baginya disifatkan layak untuk mendapat gelaran Tun daripada kerajaan secara ‘posthumous’ iaitu penghormatan selepas kematian bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong pada Jun depan.

“Cadangan untuk membawa P Ramlee memperoleh gelaran Tun ini dikemukakan oleh salah seorang daripada AJK kelab dan kata sepakat turut sudah dicapai untuk membawanya (usul) kepada pertimbangan lanjut dalam masa terdekat.

“Pada pandangan saya sendiri sebagai peminat tegar P Ramlee dari sejak kanak-kanak dulu, cadangan (mendapatkan gelaran Tun) ini wajar dilakukan kerana sebelum itu pun pernah ada tokoh dianugerahkan gelaran secara ‘posthumous’.

“Jadi, P Ramlee juga adalah seorang figura seni hebat dan unik dari segi bakatnya. Allahyarham boleh dianggap sebagai genius Melayu tiada tandingan dalam industri seni. Bagi saya, setakat ini masih tiada lagi sosok seperti ketokohan seni P Ramlee di dunia ini,” jelasnya.

Menurut Wan Hashim, jadi mengapa tidak kita yang cuba mengangkat kredibiliti Allahyarham yang berbakat besar itu ke tahap lebih tinggi dengan mencadangkan penganugerahan gelaran Tun sebagai pengiktirafan buatnya.

Terdahulu, Wan Hashim ditemui Harian Metro pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Kelab Peminat P Ramlee cawangan Lembah Klang di kediamannya di Kampung Bahagia Bangi, di sini, hari ini.

Turut diraikan pada majlis rumah terbuka berkenaan adalah anak P Ramlee iaitu Sazali dan isteri, Hamidah Hitam. Hadir sama, Setiausaha Kelab Peminat P Ramlee Lembah Klang, Sandakiah Aziz serta AJK Perhubungan, Akmal Abdullah.

Wan Hashim juga menegaskan pihaknya akan menghantar cadangan rasmi kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan berharap ia dapat dipertimbangkan serta jika ada rezeki, penganugerahan dapat dibuat bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong nanti.

Akmal pula berkata, sebenarnya sudah tiba masa untuk P Ramlee diberi pengiktirafan tertinggi kepada gelaran Tun memandangkan Allahyarham sudah lama dianugerahkan Tan Sri sejak lebih tiga dekad lalu.

“Kalau diikutkan P Ramlee sudah menerima gelaran Tan Sri sekitar 1990, juga secara ‘posthumous’. Jadi, saya berasakan sudah sampai masanya untuk Allahyarham dianugerahkan gelaran Tun pula.

“Kita sedia maklum, penganugerahan Tun mempunyai kuota tertentu dan bukan mudah diberikan. Malah, setakat ini belum ada tokoh seni yang menerima gelaran itu lagi.

“Tetapi, apa yang cuba kita hendak lakukan ini adalah cadangan berdasarkan sumbangan besar seniman legenda negara itu dalam industri seni dan budaya Malaysia,” katanya.

Akmal yang juga bekas Pengarang Hiburan Berita Harian (Edisi Mingguan) memaklumkan cadangan gelaran Tun kepada P Ramlee juga adalah sebagai tanda penghargaan generasi masa kini terhadap legasi yang ditinggalkan selepas 53 tahun Allahyarham meninggal dunia pada 29 Mei 1973 di usia 44 tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top