Van Dijk mohon maaf aksi longlai Liverpool

Van Dijk mohon maaf aksi longlai Liverpool

London: Virgil van Dijk memohon maaf kepada penyokong Liverpool selepas mengakui pasukannya seolah-olah mengalah ketika tewas dalam suku akhir Piala FA menentang Manchester City.

Skuad kendalian Arne Slot itu dibelasah 0-4 di Stadium Etihad, awal pagi tadi, dengan Van Dijk berang terhadap aksi hambar mereka pada babak kedua.

Ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama hasil dua jaringan Erling Haaland, Liverpool terus dihukum sejurus babak kedua bermula apabila Antoine Semenyo menjaringkan gol sebelum Haaland melengkapkan hatriknya.

Aksi longlai Liverpool menyaksikan kira-kira 8,000 penyokong mereka meninggalkan stadium lebih awal sebelum wisel penamat.

Van Dijk mengakui dia turut bersalah selepas menghadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Haaland pada babak pertama, dan kapten The Reds itu menegaskan rakan sepasukannya juga perlu memikul tanggungjawab.

“Saya hanya boleh memohon maaf kepada penyokong atas apa yang kami pamerkan, terutamanya pada babak kedua,” katanya.

“Sudah tentu kami turun dengan niat yang betul dari bilik persalinan, untuk cuba mendapatkan gol bagi menjadikan kedudukan 1-2 secepat mungkin dan mengubah perlawanan.

“Namun perkara sebaliknya berlaku dan untuk bangkit daripada ketinggalan 0-3 di sini memang sangat sukar — tetapi kami juga tidak sepatutnya mengalah, dan mungkin itulah yang berlaku pada satu ketika.

“Kami mengecewakan penyokong, diri sendiri dan juga pengurus. Cara kami bermain pada babak kedua khususnya pasti menyakitkan semua pihak. Ia memang sangat mengecewakan saya,” katanya.

Keputusan buruk itu menambahkan tekanan ke atas Slot menjelang aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara UEFA menentang Paris Saint-Germain di Perancis, Khamis ini.

Dengan harapan meraih trofi domestik sudah berkubur di tangan City, Liverpool kini perlu memberi fokus untuk memburu kejuaraan Liga Juara-Juara dan memastikan kelayakan ke saingan musim depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top