am@hmetro.com.my
Tumpat: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk empat wanita di sebuah rumah di Chabang Empat di sini, kelmarin.
Kesemua mereka yang berusia antara 19 hingga 36 tahun dipercayai masuk ke negara ini menerusi laluan tidak sah sebelum ditempatkan di sebuah rumah sebagai transit.
Menurut Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, serbuan dilakukan oleh pasukannya dalam Op Taring Wawasan Kelantan hasil maklumat risikan.
“Pemeriksaan mendapati kesemua suspek yang ditemukan di ruang tamu rumah itu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah dan disyaki memasuki Malaysia melalui laluan tidak diwartakan dari Thailand.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek memasuki Malaysia melalui rangkaian penyeludupan manusia (ejen) yang membabitkan perjalanan dari Myanmar ke Thailand sebelum dibawa masuk ke Malaysia menggunakan laluan sungai secara tidak sah.
“Bayaran kepada ejen dianggarkan sebanyak RM8,000 seorang bagi tujuan kemasukan ke Malaysia untuk bekerja sebagai buruh binaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Ahmad Radzi berkata, kesemua pati ditahan dan diserahkan mereka kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/1963.
Dalam perkembangan lain, sepasang remaja yang juga pati warga Thailand ditahan di sekitar kawasan Pangkalan Haram Miji, Kampung Kedap, Rantau Panjang dekat sini, petang Jumaat lalu.
Ahmad Radzi berkata, kedua-dua mereka berusia 16 dan 17 tahun gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah serta tiada cop kemasukan ke Malaysia.
“Suspek mengaku bekerja di Malaysia sejak awal 2024 sebagai tukang masak di sebuah premis makanan di Pasir Gudang, Johor.
“Kedua-dua suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke Komtak PGA Taman Bakti sebelum diserahkan kepada JSJ IPD Pasir Mas untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 5(2) dan Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




