am@hmetro.com.my
Drama Khianat Yang Terpilih yang memasuki episod akhir pada minggu ini terus menjadi bualan apabila jalan ceritanya menyentuh isu lebih sensitif termasuk hukum hakam agama.
Antara yang mencuri perhatian adalah situasi membabitkan watak Asmida (lakonan Puteri Aishah) yang hamil hasil hubungan terlarang dengan Ali (lakonan Ben Amir) ketika kedua-duanya masih mempunyai pasangan hidup masing-masing.
Perkembangan ini menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan penonton khususnya berkaitan nasab anak terbabit; yakni siapakah ‘bin’ anak itu, sama ada perlu berlaku perceraian dan bagaimana hukum sebenar dalam situasi berkenaan.
Mengulas isu ini, ustaz dikenali sebagai Jafri Abu Bakar menjelaskan bahawa dalam Islam, penentuan nasab anak bergantung kepada status perkahwinan wanita ketika mengandung.
“Bagi wanita yang ada suami, anak yang dilahirkannya pada asal dinasabkan kepada suami, berdasarkan kaedah ‘anak itu dinasabkan kepada pemilik ‘hamparan’.
“Hamparan di sini adalah kiasan kepada wanita. Jadi, mana-mana lelaki yang memiliki wanita dengan akad yang sah, maka anak yang dilahirkan wanita itu adalah anaknya,” jelasnya.
Namun begitu, ada pengecualian sekiranya suami yakin anak berkenaan bukan daripada benihnya sendiri.
“Jika suami mempunyai bukti yang kuat, dia boleh menafikan nasab anak itu melalui proses li’an iaitu sumpah laknat di hadapan hakim atau kadi. Dengan berlaku li’an, anak itu tidak lagi dinasabkan kepada suami, sebaliknya kepada si ibu,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa penentuan atau penafian nasab tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya atau hanya berdasarkan ujian DNA semata-mata.
“Dalam syarak, pengisytiharan nasab perlu melalui akad perkahwinan, manakala penafian pula melalui li’an. Proses li’an juga menyebabkan pasangan terbabit terpisah buat selama-lamanya,” katanya.
Drama Khianat Yang Terpilih bersiaran pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.58 petang di slot Akasia TV3.
© New Straits Times Press (M) Bhd




