TEKA-teki mengenai masa depan kapten Manchester City, Bernardo Silva akhirnya terjawab apabila kelab itu mengesahkan pemain tersebut bakal meninggalkan Stadium Etihad pada penghujung musim ini.
Berita berkenaan disahkan sendiri oleh penolong pengurus City, Pep Lijnders, selepas kontrak pemain antarabangsa Portugal itu tamat sebaik sahaja kempen musim ini berakhir.
Silva yang telah menabur bakti selama sembilan tahun di bawah kendalian Pep Guardiola, akan bergelar ejen bebas setelah membantu City memenangi enam gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dan satu trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
“Setiap kisah yang indah pasti akan berakhir. Saya harap dia dapat menikmati bulan-bulan terakhirnya di sini hanya berbaki enam minggu sahaja lagi dan mendapat majlis perpisahan yang sewajarnya.
“Dia berhak menerima semua penghormatan tersebut atas sumbangannya yang luar biasa,” kata Lijnders kepada media selepas City mencatatkan kemenangan bergaya 4-0 ke atas Liverpool dalam aksi suku akhir Piala FA pada Ahad.
Pengendali City, Pep Guardiola, yang sebelum ini tidak dapat berada di tepi padang akibat penggantungan pernah menyifatkan pemain tengah itu sebagai individu yang “tidak boleh diganti” dalam sistem permainannya.
Sejak menyertai City dari AS Monaco pada 2017, Silva telah membuat 450 penampilan dan menjadi nadi utama pasukan menerusi kualiti teknikal serta kerajinan luar biasa di atas padang.
Meskipun bakal kehilangan kapten mereka, City kini sedang berada dalam misi memburu gelaran ‘treble’ domestik bagi musim 2025-26.
Walaupun masih ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu liga, Arsenal, City masih mempunyai baki lapan perlawanan dan satu perlawanan dalam tangan untuk merapatkan jurang dan mencabar kejuaraan liga.


