am@hmetro.com.my
Putrajaya: Kerajaan tidak akan mempertimbangkan memberi permit khas kepada ‘ulat foto’ yang beroperasi di beberapa tempat tumpuan pelancong di ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pihaknya mengambil kira faktor keselamatan pelancong dan pengguna jalan raya yang melalui persimpangan berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya sudah menjalankan lawatan di persimpangan berdekatan dengan Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan melihat wujud isu keselamatan susulan aktiviti berkenaan.
“Melalui lawatan itu, apa yang kita lihat isunya adalah isu keselamatan kerana di persimpangan berkenaan tidak selamat untuk lakukan aktiviti mengambil gambar.
“Oleh sebab itu atas dasar keselamatan, saya rasa kita tak boleh pertimbangkan untuk memberikan lesen,” katanya ditemui selepas Majlis Inisiatif Penguasaan Bahasa Antarabangsa Untuk Generasi Muda Putrajaya dan Bantuan Mobiliti Komuniti Putrajaya di sini, hari ini.
Hannah berkata, pihaknya berpendapat kegiatan itu boleh mendatangkan bahaya kepada pelancong dan orang awam di kawasan berkenaan.
Katanya, beliau tidak hanya melihat isu kebajikan ‘ulat foto’ dan aspek pelancongan semata-mata.
Beliau berkata, dua tinjauan yang dilakukan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta pihak keselamatan di KLCC mendapati sudah ada pengurangan aktiviti berkenaan.
“DBKL sudah memasang kamera litar tertutup (CCTV) tambahan di persimpangan berkenaan dan dalam lawatan tapak kita melihat ada kekurangan aktiviti (ulat foto) di situ.
“Polis juga sedang menjalankan operasi bersepadu bersama dengan DBKL,” katanya.
Turut dipasang di kawasan berkenaan adalah sistem hebahan dalam beberapa bahasa yang membuat pengumuman setiap 10 minit, memaklumkan pelancong tidak menggunakan perkhidmatan ‘ulat foto’.
Hannah berkata, tangkapan juga sudah dilaksanakan melalui operasi bersepadu berkala yang dijalankan pihak berkuasa.
Pada masa sama, Hannah berkata, melalui pemeriksaan terhadap ‘ulat foto’ yang ditahan mendapati ada antara mereka terdiri daripada warga asing yang menggunakan identiti palsu.
“Yang saya dengar mereka berkumpul di sekitar tapak (jambatan) Saloma dan kawasan yang sering dikunjungi pelancong.
“Perkara ini sudah berlanjutan sejak beberapa tahun, tetapi melalui operasi bersepadu ini, jika kita berjaya (mengurangkan kegiatan berkenaan) kita akan memperluaskannya ke lokasi lain,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



