26 warga asing ditahan, sisa e-waste RM18 juta dirampas

26 warga asing ditahan, sisa e-waste RM18 juta dirampas

IPOH: Seramai 26 warga asing ditahan dalam serbuan di sebuah kilang yang menjalankan aktiviti pemprosesan bahan buangan elektronik (e-waste) secara haram di Kampung Kepayang, Simpang Pulai, di sini hari ini.

Dalam serbuan sekitar pukul 7 pagi itu, pelbagai barangan dirampas termasuk 225,000 kilogram (kg) longgokan e-waste dengan nilai keseluruhan dianggarkan mencecah RM18 juta.

Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, siasatan awal mendapati kilang tersebut dipercayai beroperasi secara haram sejak empat tahun lalu.

Katanya, sumber bahan sisa elektronik yang diproses di premis berkenaan dipercayai diperoleh dari luar negara sebelum dibawa masuk untuk diproses.

“Pelbagai sisa elektronik yang dibawa masuk itu akan dihancurkan dan diasingkan mengikut kategori bahan logam sebelum dihantar ke kilang pelebur berhampiran untuk diproses menjadi bongkah logam,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, daripada jumlah tangkapan itu, seramai 17 orang adalah warga Myanmar terdiri daripada 11 lelaki dan enam perempuan berusia antara 18 hingga 49 tahun.

Katanya, turut ditahan ialah sembilan lelaki warga India berusia antara 21 hingga 38 tahun.

“Selain 225,000kg longgokan e-waste, pasukan serbuan turut merampas 800 beg jumbo berisi bahan sama, pelbagai jentera dan mesin pemprosesan serta sebuah tangki minyak diesel yang mengandungi 20,000 liter bahan api,” katanya.

Tambah beliau, kes berkenan diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak untuk siasatan di bawah Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana menjalankan aktiviti tanpa kelulusan pihak berkuasa.

“Bagi kesalahan beroperasi tanpa lesen di bawah Seksyen 3(1) Akta Kerajaan Tempatan 1976 pula, kita serahkan kes ini kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk tindakan lanjut.

“Selain itu, siasatan terhadap kesemua warga asing itu pula dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan sama, beliau berkata, selain serbuan di Perak, operasi Op Hazard Mega 3.0 turut menyasarkan 19 premis lain di beberapa negeri, iaitu tujuh lokasi di Kedah, tujuh di Pulau Pinang dan lima di Perak. – UTUSAN

 

Scroll to Top