am@hmetro.com.my
APLIKASI MCMC NEXUS yang dilancarkan baru-baru ini, adalah satu daripada langkah memperkasa rakyat serta industri dalam memperkukuh ekosistem digital negara.
Aplikasi yang dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu membolehkan orang ramai menguji kelajuan Internet serta menyumbang data prestasi rangkaian sebenar di lokasi masing-masing.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, pelancaran aplikasi itu adalah langkah penting dalam memperkukuh ekosistem digital negara.
“Akses kepada Internet berkualiti kini bukan lagi satu kemewahan, tetapi keperluan asas dalam kehidupan harian,” katanya pada majlis pelancaran, baru-baru ini.
Menurutnya, pendekatan berasaskan data melalui aplikasi berkenaan membolehkan penambahbaikan rangkaian dilaksanakan secara lebih tepat dan bersasar.
“Melalui aplikasi ini, pengguna boleh menguji kelajuan Internet serta menyumbang data prestasi rangkaian sebenar.
“Maklumat ini membantu mengenal pasti kawasan liputan lemah dan meningkatkan kualiti perkhidmatan dengan lebih berkesan,” katanya.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
MCMC NEXUS tidak mengumpul maklumat peribadi pengguna kerana semua data direkodkan secara anonim, selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
Sejak diperkenalkan secara berperingkat, aplikasi itu merekodkan lebih 51,000 muat turun serta mengumpul kira-kira 168 juta titik data prestasi rangkaian di seluruh negara.
Menurut MCMC, data yang dikumpulkan akan membantu menganalisis prestasi rangkaian, mengenal pasti kesesakan serta kawasan liputan lemah, sekali gus membolehkan penambahbaikan dilaksanakan secara lebih berkesan.
“Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kualiti Internet, malah membantu merapatkan jurang digital termasuk di kawasan luar bandar.
“Pendekatan ini menyokong pembangunan ekonomi digital negara yang lebih inklusif, berdaya tahan dan mampan.
“MCMC NEXUS juga memperkasa rakyat sebagai rakan strategik dalam usaha memperkukuh kesalinghubungan digital negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




