Anak Tun Daim tiba di mahkamah bagi menghadapi pertuduhan gagal mematuhi notis perisytiharan aset

Anak Tun Daim tiba di mahkamah bagi menghadapi pertuduhan gagal mematuhi notis perisytiharan aset

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Anak perempuan bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, bagi menghadapi pendakwaan kes berkaitan kegagalan mematuhi notis perisytiharan aset.

Asnida yang memakai baju biru gelap dan berselendang serta memakai pelitup muka tiba pada 8.40 pagi dengan ditemani ahli keluarganya.

Difahamkan, Asnida akan berdepan pendakwaan mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Semalam, beliau hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya.

Tiga lagi anak Daim iaitu Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin tidak kelihatan hadir memberi keterangan.

Bagaimanapun, SPRM dilapor berkata, Md Wira Dani sudah memaklumkan lebih awal mengenai ketidakhadirannya.

Susulan ketidakpatuhan dua lagi, SPRM akan mengambil tindakan tegas selanjutnya dengan menggerakkan Notis Merah (Red Notice) melalui INTERPOL dan berkolaborasi dengan Jabatan Imigresen bagi menyekat serta memantau pergerakan keluar masuk dan status pasport dua anak Daim yang gagal hadir.

Penama berkenaan juga akan berdepan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 48(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana ingkar mematuhi Perintah Menghadiri Pemeriksaan di bawah Seksyen 30(1)(a) akta yang sama.

Siasatan menerusi Op Godfather dijalankan mengikut Seksyen 23 dan Seksyen 36 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Siasatan terhadap Allahyarham Daim dan keluarganya bermula selepas pendedahan Pandora Papers pada 2021 oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) yang mendakwa kewujudan syarikat dan aset luar pesisir yang dikaitkan dengan mereka serta sekutu perniagaan Allahyarham Daim.

Maklumat itu menjadi asas kepada risikan awal dan pembukaan kertas siasatan oleh SPRM pada 2023.

Sepanjang tempoh Jun 2023 hingga November 2023, SPRM menyerahkan notis-notis mengikut Seksyen 36(1)(a) dan 36(1)(b) Akta SPRM 2009 kepada Allahyarham Tun Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan anak-anak mereka bagi tujuan pengisytiharan harta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top