Arteta mahu pemain tukar kekecewaan kepada motivasi

Arteta mahu pemain tukar kekecewaan kepada motivasi

Lisbon: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berkata, kekecewaan akibat dua kekalahan berturut-turut dalam kejohanan piala perlu dijadikan motivasi apabila pasukannya kini mengalihkan tumpuan kepada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Sporting, awal pagi esok.

Kelab London itu tiba di Lisbon selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut buat kali pertama musim ini, iaitu tewas 0-2 kepada Manchester City di final Piala Liga dan dikejutkan pasukan Liga Kejuaraan, Southampton 2-1 di suku akhir Piala FA, Sabtu lalu.

“Kami perlu melihat dengan lebih luas betapa sukarnya apa yang telah kami lakukan setakat ini,” kata Arteta.

“Rasai kesakitan itu, gunakannya untuk menjadi lebih baik.

“Kami sangat jelas apa yang berlaku dan kenapa ia berlaku. Inilah bola sepak.”

Pada ketika Arsenal kini hanya tinggal dalam dua pertandingan berbanding empat sebelum ini, Arteta berkata, pemikiran yang tenang dan bukannya panik adalah kunci ketika pemainnya cuba bangkit di pentas Eropah.

“Saya fikir apa yang anda perlu lakukan ialah kekal jelas, faham kenapa ia berlaku,” katanya.

“Apabila anda memahaminya, jadi lebih baik dan itulah yang perlu kami lakukan.”

Bukayo Saka, Eberechi Eze dan Jurrien Timber tidak akan diturunkan dalam aksi pertama selepas ketiga-tiga mereka tidak dibawa ke Portugal akibat kecederaan, walaupun Arteta berharap mereka boleh kembali beraksi hujung minggu ini.

Terdapat berita lebih baik apabila Gabriel Magalhaes, Declan Rice dan Leandro Trossard semuanya tersedia selepas dilihat menjalani latihan.

Arsenal bakal berdepan Sporting yang masih belum tewas di laman sendiri dalam saingan Eropah musim ini, dengan juara Portugal itu mahu memanfaatkan kelebihan dalam aksi timbal balik itu.

Pemain tengah Sporting, Maxi Araujo menepis tanggapan bahawa Arsenal adalah pasukan pilihan.

“Tiada pasukan pilihan dalam pertemuan ini,” katanya.

“Mereka bermain dengan baik, kami juga begitu.”

Aksi kedua akan berlangsung pada 16 April di Stadium Emirates.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top