Pendakwah bebas, PU Rahmat mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan warganet apabila tampil mempertahankan pelakon Nadzmi Adhwa susulan tindakan isterinya, Ardell Aryana menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0.
Jangan halang pergi berjuang
Menerusi satu hantaran di Threads, PU Rahmat menegaskan bahawa setiap suami mempunyai hak dalam menentukan keputusan rumah tangga masing-masing. Namun, beliau meminta orang ramai agar tidak menghalang keputusan Nadzmi yang memberi keizinan kepada Ardell untuk terlibat dalam misi tersebut.

“Anda tak nak benarkan isteri anda join Sumud tu hak anda. Nak simpan bini dalam rumah dan layan Netflix sampai 100 episod pun silakan. Cuma jangan halang Nadzmi benarkan Ardell berjuang,” ciapannya, hari ini.
Dalam masa sama, dia turut menekankan bahawa wanita juga mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada masyarakat dan agama, serta tidak wajar disekat daripada melakukan perkara kebaikan.
“Jangan halang potensi wanita menjadi hebat di sisi Allah,” ujarnya.
PU Rahmat juga secara berseloroh menyatakan bahawa jika diberi rezeki berumah tangga kelak, dirinya sendiri akan menggalakkan isterinya berkawan dengan Ardell sebagai sumber inspirasi.
Dalam hantaran susulan, beliau mengakui nada penyampaiannya mungkin kedengaran kasar, namun menganggap ia sebagai satu teguran yang lahir daripada keprihatinan.

“Kasar ke ayat aku? Alhamdulillah kalau terasa, itu tanda hati masih hidup sebab kalau dah hilang rasa lagi bahaya,” tambahnya lagi.
Sebelum ini, penyertaan Ardell Aryana dalam misi kemanusiaan tersebut mendapat pelbagai reaksi, termasuk perdebatan mengenai peranan isteri dan keizinan suami dalam konteks masyarakat hari ini.
Artikel lain: Suami titip doa, Ardell Aryana berangkat sertai misi Global Sumud Flotilla 2.0
Selain Ardell, antara personaliti dan pendakwah yang turut serta dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 ini adalah pasangan beradik Heliza dan Hazwani Helmi, PU Rahmat, PU Amin, Imam Asyraf dan Haroqs.
Terdahulu, kumpulan aktivis Global Sumud Flotilla 2.0 melancarkan misi kemanusiaan ke Semenanjung Gaza pada 12 April ini bermula dari pelabuhan Barcelona, Sepanyol.
Sumber: Threads rahmat.ikhsan.official




